Home Berita PAS Terengganu

FAMA sasar tambah 14 Pasar Tani tahun ini

35
SHARE

KUALA TERENGGANU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk menambah 14 lagi pasar tani di seluruh negara pada tahun ini.

Pemangku Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, penambahan pasar tani itu bergantung kepada peruntukan dan juga kesesuaian tapak.

“Kajian Jabatan Perangkaan Malaysia telah mencadangkan FAMA untuk membuka lebih banyak outlet pasar tani mengunakan kaedah bilangan penduduk di satu-satu tempat.

“Bagi pihak FAMA kita mengucapkan terima kasih atas cadangan itu dan akan menggunakan data oleh Jabatan Perangkaan Malaysia untuk pembukaan pasar-pasar tani baru di masa hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan Peralatan Sokongan Pemasaran Usahawan Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Menurut Abdul Rashid, pelbagai faktor akan diambil kira sebelum pembukaan sesebuah pasar tani baharu.

“Setiap kali kita hendak membuka pasar tani, kita akan buat satu kajian pasaran yang melibatkan unsur-unsur seperti kepadatan penduduk, bilangan pasaraya yang berada di kawasan yang dicadangkan, budaya beli penduduk dan kebenaran daripada pihak PBT,” ujarnya.

Katanya, sehingga kini lebih 250 outlet pasar tani beroperasi di seluruh Malaysia.

Terdahulu, laporan media turut memaklumkan Kerajaan mengarahkan FAMA agar membuka lebih banyak pasar tani mengikut kepadatan penduduk di sesuatu kawasan.

Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, FAMA harus mempunyai perancangan dengan membuka 1,391 pasar tani dan pembukaan itu perlu mengikut nisbah penduduk.

“(Perkara) ini ditentukan kawasan berpendudukan tinggi di Semenanjung.

“Manakala untuk Sabah dan Sarawak, Fama telah cuba untuk (membuka) pasar tani tapi penduduk Sabah dan Sarawak lebih berminat menggunakan pasar tamu mereka,” jelasnya.

Beliau berkata, penyelarasan mengenai perkara itu harus dilakukan sekarang.