Home Berita PAS Terengganu

EXCO Terengganu rai sukarelawan bawa pulang jenazah nahas UPSI

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr. Azman Ibrahim  meraikan sukarelawan Pertubuhan Amal Komuniti Besut yang membantu menguruskan jenazah dalam tragedi kemalangan bas membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengorbankan 15 nyawa, baru-baru ini.

Azman berkata, pertubuhan tersebut menyediakan khidmat pengurusan jenazah, van jenazah dan ambulan komuniti secara percuma kepada masyarakat.

“Mereka tak minta dikenali tapi saya ingin memperkenalkan mereka. Inilah wajah-wajah wira tak didendang yang telah berkorban masa, tenaga, wang ringgit, hati dan perasaan dalam menguruskan mangsa-mangsa tragedi kemalangan bas Jalan Raya Timur Barat samada yang terkorban atau mengalami kecederaan.

“Bukan sedikit cabaran yang mereka semua lalui. Dengan pertolongan Allah, tragedi besar ini dapat diuruskan dengan sebaiknya. Allah menyatukan hati-hati kita semua atas rasa kebersamaan dan kemanusian,” tulisnya dalam satu hantaran di laman facebook.

Katanya, majlis makan malam yang diadakan itu adalah sebagai penghargaan daripada pihaknya kepada anggota pertubuhan yang telah mengurus dan membawa pulang jenazah ke Terengganu mengikut perancangan tanpa sebarang masalah,

“Malam ini sebagai tanda penghargaan, kita raikan wira-wira ini dalam majlis seadanya. Ia terlalu kecil berbanding khidmat yang telah dicurahkan.

“Terima kasih serta penghargaan yang setulusnya kepada penaung, pengerusi dan semua sahabat-sahabat Pertubuhan Amal Komuniti Besut. Saya sangat menghargainya,” ujar beliau.