Assalamualaikum w.b.t.,
Pada tanggal 19 Januari 2018 lalu di Auditorium Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, di dalam Majlis Himpunan Jabatan-Jabatan dan Agensi di bawah Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor, telah dilaksanakan majlis pelancaran Buku Jurnal Hal Ehwal Islam dan Warisan Selangor serta Buku Terbitan Jabatan Mufti Negeri Selangor iaitu buku “Garis Panduan Etika Berpakaian Bagi Orang Islam Di Premis-Premis Kerajaan Negeri Selangor. Kewujudan kedua-dua buku ini adalah hasil daripada perancangan yang telah dilaksanakan melalui Pejabat EXCO integrasi dengan jabatan-jabatan dan agensi di bawah Standco EXCO melalui program Sumbang Saran dan Bengkel Standco bagi pelaksanaan program-program EXCO sejak tahun lepas.
Saya selaku EXCO Agama Negeri Selangor sangat komited untuk mewujudkan suasana persekitaran yang kondusif dan mahabbah kepada seluruh warga masyarakat yang ingin bermuamalah di pejabat-pejabat dan agensi kerajaan Negeri Selangor. Dengan kewujudan Buku Garis Panduan Etika Berpakaian Bagi Orang-Orang Islam di Premis-Premis Kerajaan Negeri Selangor ini adalah diharapkan ianya dapat memberikan kesedaran dan keselesaan kepada semua pihak. Walaubagaimanapun buku ini hanyalah sebagai garis panduan dan bukannya satu ketetapan yang perlu dipatuhi sehingga mengikat kebebasan peribadi anggota masyarakat. Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor di atas usaha murni ini.
Saya turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pihak Lembaga Penasihat dan pasukan Editor Penerbitan Jurnal Hal Ehwal Islam dan Warisan Selangor yang diketuai oleh Prof. Dato’ Dr. Abdul Halim Bin Tamuri daripada KUIS yang telah menyelaraskan pengumpulan artikel-artikel ilmiah berkenaan dengan hala tuju pembangunan Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor untuk dimuatkan di dalam jurnal ini yang akan menjadi bahan rujukan generasi akan datang.
Saya sangat mengharapkan semoga dengan kehadiran kedua-dua buku ini akan menambahkan lagi khazanah ilmu yang dapat memberikan manfaat kepada Kerajaan Negeri Selangor amnya dan seluruh rakyat Negeri Selangor khususnya.
YANG BERHORMAT DATO’ DR. AHMAD YUNUS BIN HAIRI D.P.M.S.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO)
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi Negeri Selangor
06 Jamadil Awwal 1439H/ 23 Januari 2018