Home Berita PAS Terengganu

Exco Kedah tersentuh lihat anak Taman Sinar Harapan

11
SHARE

KUALA TERENGGANU – “Yang pentingnya agama,” itu luahan tulus Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Kedah, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad.

Beliau berkata demikian ketika menzahirkan rasa terkesan dengan kunjungan beliau ke Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu (TSHKT), Kampung Bukit Besar, kelmarin.

“Taman Sinar Harapan ini adalah merupakan salah satu daripada institusi kerajaan untuk kita bagi perlindungan kepada kanak-kanak di sini.

Halimaton Shaadiah.

“Alhamdulillah, hari ini kita ‘touching’ (tersentuh hati) sedikit, dengan kehadiran anak-anak (penghuni TSHKT) kita yang mana kita tahu bermacam-macam masalah yang mereka hadapi.

“Jadi Kak Ton berharaplah, semoga anak-anak yang ditempatkan di sini mempunyai jati diri, seterusnya mereka diasuh dengan didikan agama. Yang pentingnya agamalah, Tuan Haji.

“Insya-Allah, segala cabaran yang akan mereka hadapi itu kita akan dapat kurangkan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Terengganu atas komitmen dalam menyantuni penghuni institusi di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu.

“Terima kasih juga kepada YB Exco kerajaan Terengganu yang banyak membantu Pusat Sinar Harapan ini,” ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Lawatan bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim, tersebut merupakan sebahagian daripada program tinjauan delegasi Kerajaan negeri Kedah.

Jelasnya, ia merupakan satu langkah bagi memperkukuh dasar kebajikan dan wanita, termasuk dalam aspek penjagaan dan pemulihan golongan kanak-kanak istimewa.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu, Dr. Nurhayati Mohamad, TSHKT menempatkan 67 kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) berumur antara 0 hingga 14 tahun, khususnya kategori masalah pembelajaran.

Terdahulu, delegasi Kedah turut mengadakan lawatan ke Pusat Autisme Sejahtera Terengganu (PAUT) pagi tadi, yang menurut Halimaton memberi kesedaran mendalam mengenai pentingnya intervensi awal dalam mengenal pasti anak-anak istimewa di peringkat awal.

“Kita rasa banyak kepentingan untuk kita santuni mereka-mereka yang kelainan upaya ini.

“Perlu ada lagi usaha untuk kita menguar-uarkan kepada perbadanan bukan kerajaan (NGO) dan orang-orang perseorangan, untuk tampil ke hadapan.

“Untuk tampil ke hadapan ini bermaksud kita kena tunjuk bahawa autisme ni sebenarnya, satu kelainan upaya yang mana kita kena mendekati mereka daripada awal lagi,” katanya.

Dalam masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam juga mengucapkan rasa syukur apabila semakin ramai penjaga tampil untuk membuat pemeriksaan awal bagi autisme.

Menurutnya, banyak manfaat boleh diperoleh oleh penjaga dan anak-anak OKU sekiranya mereka berdaftar dengan JKM dan memiliki kad OKU, termasuk kemudahan rawatan dan akses kepada sokongan kerajaan.