KUALA TERENGGANU – Terengganu terus mengukuhkan pelancongan mesra syariah melalui kerjasama antara Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Jawatankuasa Pelancongan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, dalam usaha terbabit beliau menerima kunjungan Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin.
“Pertemuan ini bertujuan bagi mengukuhkan garis panduan pelancongan negeri agar selari dengan nilai Islam dan syariah.
“Kerjasama antara JHEAT dan pengusaha pelancongan penting supaya pelancongan di Terengganu tidak bercanggah dengan budaya dan agama,” katanya pada kenyataan semalam.
Razali berkata, dasar pelancongan mesra syariah akan meningkatkan imej Terengganu dan menarik pelancong yang ingin bercuti mengikut cara Islam.
“Kerjasama yang lebih teratur antara pihak agama dan penggiat industri pelancongan perlu diwujudkan supaya pembangunan pelancongan tidak menyimpang dari budaya dan agama.
“Insya-Allah, dengan usaha bersama dan sokongan rakyat, Terengganu mampu menjadi contoh utama pelancongan Islamik di Malaysia dan rantau ini,” ujarnya.