Home Artikel PAS Perlis

Erat Semangat Kekitaan dan Silaturrahim Melalui Gotong-royong.

59 views
SHARE

Oleh: Najah Izzati

KANGAR : Walaupun bulan Muharram sudah melabuhkan tirainya, PAS Kawasan Kangar tetap meneruskan tradisi mengacau bubur asyura.

Program membuat bubur asyura ini telah diadakan pada 28 Oktober 2017 bersamaan 8 Safar 1438H, bertempat di Pejabat PAS Kawasan Kangar. Program berkenaan yang memakan masa selama 6 jam, telah diadakan seawal jam 8.00 pagi.

Menurut pengarah program, Saudara Hasbullah, tanggapan bahawa tradisi membuat bubur yang hanya dilakukan pada bulan Muharram, sudah boleh diubah kerana menurut beliau, umat Islam sebenarnya bebas memilih bulan-bulan yang lain untuk melaksanakan aktiviti sebegini yang lazimnya diadakan secara gotong-royong.

“Program ini sebenarnya dapat mengeratkan hubungan persaudaraan, kejiranan, kemasyarakatan dan semangat kekitaan melalui perkongsian perbelanjaan atau bekalan bahan, tenaga dan kemahiran untuk memasak juadah itu, sebelum mengecapinya bersama,” ujarnya lagi.

Tuan Haji Baharuddin Ahmad selaku Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Perlis yang turut hadir berkata, amalan murni dalam kehidupan bermasyarakat harus terus disemarakkan dengan menarik penglibatan golongan muda secara lebih meluas.

Beliau turut mengingatkan, tradisi yang diwarisi ini amat besar maknanya kerana ia mampu menyemai semangat kekitaan di samping mengukuhkan silaturrahim melalui konsep gotong-royong.

Kesemua bubur asyura yang telah siap dikacau kemudiannya dibahagikan mengikut DUN-DUN dalam Kawasan Kangar untuk diagihkan kepada orang ramai.