Home Berita PAS Terengganu

EPIC, MS Citajaya ‘Berebut’ suntik semangat Kontinjen SUKMA Terengganu

6
SHARE

KUALA NERUS – Anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan EPIC Berhad membuat kejutan apabila mengumumkan tambahan sumbangan sebanyak RM15,000 kepada kontinjen Terengganu yang bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhtar Suhaili memaklumkan, pihaknya bakal menambah sumbangan asal RM20,000 menjadikan jumlahnya sebanyak RM35,000.

“Kita sudah umum (sumbangan) ini untuk enam sukan yang diadakan di Miri iaitu pelayaran, softball, ragbi, karate, lawan pedang dan silat.

“Sebelum ini kita telah menyumbang RM5,000 kepada pasukan e-sukan dan pasukan bola sepak menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan EPIC Berhad sebenarnya berjumlah RM45,000.

“Harapan kita supaya Terengganu mampu menjadi juara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan tajaan yang disempurnakan ketua kontinjen, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak di Ar-Riyadah Residence, hari ini.

Dalam majlis itu, satu lagi syarikat swasta iaitu MS Citajaya turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada atlet -alte yang bertanding.

Apa yang menarik, usaha itu juga merupakan tambahan sumbangan setelah syarikat berkenaan menyumbang RM3,000 kepada pasukan sepak takraw sebelum ini.

Penolong pengurus besar, Br. Ts. Mohamed Tajali berkata, sumbangan itu merupakan tanggungjawab sosial pihak syarikat dalam membantu pembangunan sukan di Terengganu.

“Syukur Terengganu boleh hantar wakil ke Sarawak, sedia maklum SUKMA boleh mencungkil bakat anak-anak Terengganu, kita telah melihat permata- permata kita mewakili negara di Olimpik kali ini.

“Sacara dasarnya, ia satu platform yang bagus mencungkil bakat anak-anak Terengganu ke hadapan lagi.

“Walaupun bukan 100 peratus, sekurang-kurangnya kita boleh menyertai (melalu sumbangan ini) dan mengetengahkan bakat baru,” ujarnya.

Selain kedua-dua syarikat tersebut, terdapat beberapa syarikat swasta telah memberikan sumbangan secara langsung kepada pasukan-pasukan yang bertanding.

Sumbangan dan kerjasama pihak swasta dalam pembangunan sukan di Terengganu selama ini banyak membantu melahirkan atlet bertaraf antarabangsa dan diharap ia akan terus berkembang di kalangan syarikat dalam dan luar negeri.