KUALA TERENGGANU – Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (“EPIC Berhad”) meraikan 170 anak asnaf dengan memperuntukkan RM60,000 melalui Program Jalinan Kasih Ramadan 2025.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim berkata inisiatif itu bukan sekadar sebuah program tahunan, tetapi satu amanah sosial yang telah menjadi sebahagian daripada budaya korporat EPIC Berhad sejak hampir dua dekad lalu.
“Tahun ini, ia memberi manfaat kepada 170 anak asnaf dari dua daerah, iaitu Kemaman dan Kuala Terengganu yang mana setiap orang menerima RM300 untuk menyambut ketibaan bulan Syawal dengan penuh kegembiraan.
“Pada edisi pertama program ini, seramai 100 anak asnaf dari Parlimen Kuala Terengganu telah diraikan menerusi pelbagai pengisian istimewa.
“Mereka dibawa membeli pakaian baharu di Pasar Raya Pacific KTCC Mall sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, sebelum menghadiri majlis berbuka puasa di Raia Hotel Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas Program Jalinan Kasih Ramadan 2025 di KTCC Mall, semalam.
Tambah Amzad, beliau menyambut baik usaha EPIC Berhad dalam memperkukuh peranan sektor korporat dalam menyantuni golongan kurang bernasib baik.
“Sesungguhnya, bantuan diberikan bukan sekadar sumbangan material, tetapi satu manifestasi keprihatinan yang pastinya akan meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa anak-anak asnaf terpilih.”
“Usaha sebegini harus dipuji kerana ia tidak hanya memberi manfaat kepada penerima, tetapi juga menjadi inspirasi kepada lebih banyak organisasi dan individu untuk turut serta dalam kerja-kerja kebajikan,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah EPIC Berhad.