Home Berita PAS Terengganu

EPIC Berhad, GTR kerjasama jayakan Projek Panel Solar di Terminal Kargo

5
SHARE

KUALA LUMPUR – Anak Syarikat Kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik dengan Ground Team Red Sdn Bhd (GTR) bagi meneroka projek pemasangan panel solar di Terminal Kargo dan Pusat Penyelenggaraan Peralatan Perkhidmatan Darat milik GTR.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, menerusi perjanjian itu, EPIC Berhad melalui anak syarikatnya, Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (EPPSB), akan menjadi penyedia utama infrastruktur solar, manakala GTR akan menilai integrasi sistem tenaga solar dalam operasi utama mereka.

Jelas beliau, kerjasama berkenaan adalah langkah signifikan menyokong peralihan tenaga rendah karbon negara.

“Kerjasama ini satu komitmen bersama dalam mempercepatkan penggunaan tenaga boleh baharu dalam sektor sokongan penerbangan.

“Melalui inisiatif ini, kami menyokong matlamat kelestarian GTR dengan kepakaran EPIC dalam pemasangan sistem solar dan penyelesaian tenaga hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani MoU itu yang berlangsung sempena pembukaan Energy Asia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Menandatangani MoU tersebut ialah Dr. Muhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif GTR, Musdalifa Abdullah.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Dato’ Haji Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun serta Ketua Pegawai Operasi GTR, Bobban Phillip Jose.

Menurut Dr. Muhtar, kerjasama tersebut seiring dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan memberi hasil nyata dalam pelaksanaan tenaga bersih.

Sementara itu, Musdalifa berkata kerjasama dengan EPIC adalah satu langkah penting ke arah operasi darat yang lebih mampan.

“Dengan mengintegrasikan tenaga solar dalam fasiliti kargo dan penyelenggaraan kami, kami memperkukuh komitmen terhadap penerbangan lestari. Kami yakin kerjasama ini akan membawa impak yang ketara dalam menyokong peralihan tenaga Malaysia,” jelasnya.

Untuk rekod, GTR sebelum ini mencatat kejayaan dengan pelancaran armada Traktor Elektrik (EV Tractors) terbesar dalam industri penerbangan Malaysia pada 2024, dan kini terus melangkah maju dalam strategi nyahkarbon melalui pelaburan dalam teknologi hijau.