Home Berita PAS Terengganu

EPIC Berhad Dinobat Tujuh Terbaik Anugerah Syarikat Harmoni

13
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad mencatatkan pencapaian cemerlang apabila diumumkan sebagai salah satu pemenang Top 7 Anugerah Syarikat Harmoni 2025 daripada 103 penyertaan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan ini dan menzahirkan agar EPIC terus maju dan cemerlang dalam memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan dan negara.

“Anugerah ini bertujuan mengiktiraf syarikat-syarikat di Malaysia cemerlang dalam mengamalkan hubungan industri yang harmoni, adil dan produktif.

“Anugerah ini menekankan nilai-nilai seperti kerjasama antara majikan dan pekerja, pematuhan undang-undang buruh, serta usaha membina persekitaran kerja yang sejahtera dan inklusif,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam laman sosialnya pada semalam.

Menurutnya, daripada 103 penyertaan, hanya 21 syarikat terpilih sebagai finalis, dengan EPIC Berhad berjaya mara ke peringkat Top 7.

“Anugerah ini berperanan sebagai platform untuk menggalakkan amalan terbaik dalam pengurusan sumber manusia dan hubungan industri, serta menyokong pembangunan tenaga kerja yang mampan di Malaysia,” ujarnya.

Justeru itu, beliau juga menyeru semua pihak agar sentiasa mengutamakan nilai kerjasama, integriti dan keharmonian dalam melaksanakan amanah masing-masing dan terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negara.

Sementara itu, EPIC Berhad, yang menawarkan perkhidmatan dalam bidang Oil & Gas Supply & Support Base, Commercial Port Management, Marine Engineering & Services, Engineering & Maintenance Services, serta Renewable Energy & Green Technology, mempunyai 11 anak syarikat di bawah naungannya.

“Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin untuk kita terus berbakti dan memberi khidmat yang terbaik kepada semua, insya-Allah,” kata Muhtar.