Home Ensiklopedia Harian PAS

Ensiklopedia Harian PAS – Sekolah Membenteras Buta Huruf PAS Dorong Penubuhan Sekolah Dewasa

2,011 views
SHARE

ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS
SEKOLAH MEMBENTERAS BUTA HURUF PAS DORONG PENUBUHAN SEKOLAH DEWASA


PENDIDIKAN adalah antara elemen terpenting dalam membina bangsa yang merdeka. Sebelum kedatangan penjajah, pendidikan orang Melayu tertumpu kepada pendidikan agama di masjid dan pondok-pondok sehingga dapat melahirkan ulamak-ulamak besar. Namun begitu, dengan kehadiran penjajah, sistem pendidikan telah berubah, di mana sekolah-sekolah mula diperkenalkan, dengan sekolah Melayu pertama di buka pada 1816 iaitu Sekolah Melayu Gelugur. Sekolah Melayu pada masa ini hanya wujud di peringkat rendah sahaja dengan kemudahan yang sangat tidak memuaskan, dan hanya bermatlamat untuk mengekalkan cara hidup tradisional orang Melayu. Walaupun sekolah Melayu wujud di seluruh Tanah Melayu untuk mengajar menulis, membaca dan mengira, menjelang kemerdekaan, terdapat 1,868,948 orang dewasa yang buta huruf di Malaya, sedangkan kanak-kanak berusia 10-14 tahun yang buta huruf pula berjumlah 2,379,213 orang.

Setelah PAS ditubuhkan pada 23 Ogos 1951, antara tumpuan penting PAS ialah memajukan pendidikan masyarakat Islam terutama membangunkan sekolah agama, mewujudkan dana pendidikan dan membasmi buta huruf di kalangan masyarakat. PAS sangat sedar bahawa faktor pendidikan dan kebolehan membaca telah membantu mengubah pemikiran orang Melayu sejak awal 1900 sehingga mereka bangkit menentang penjajah dan mahu menegakkan semula negara Islam. Melalui media massa seperti al-Imam, Sekola Melayu, Saudara dan sebagainya, kesedaran orang Melayu telah meningkat, yang kemudiannya mewujudkan pula organisasi-organisasi yang membawa kepada kebangkitan bangsa Melayu. Atas asas ini, para ulamak dalam PAS memberikan tumpuan untuk “mencerdikkan umat” sebagai persiapan mencapai kemerdekaan dan menegakkan semula daulah Islam.

Antara langkah penting yang dipelopori oleh PAS ialah dengan menubuhkan Sekolah Membenteras Buta Huruf dan Buta Agama di Perak pada 1954 sebagai sekolah dewasa. Pendidikan dewasa atau andragogi adalah pendidikan yang menekankan supaya masyarakat menjadi celik pendidikan, terutama untuk menghapuskan buta huruf di kalangan orang dewasa di luar bandar. Inisiatif ini dibuat oleh PAS Cawangan Kerian, dengan menubuhkan sekolah dewasa yang bertujuan untuk membasmi buta huruf dan buta agama dalam masyarakat. Selain berusaha mencelikkan masyarakat, ia juga mempunyai matlamat “mengajar (masyarakat) mengenal agamanya dan menanam iman lebih dalam,” di mana ia dapat menyediakan umat Islam yang bersedia untuk mencapai kemerdekaan dan menegakkan syariat Islam.

Menurut laporan dalam Penyata Tahunan PAS 1953-1954, sehingga pertengahan tahun 1954, sebanyak empat buah Sekolah Membenteras Buta Huruf dan Buta Agama telah berjaya ditubuhkan oleh PAS Cawangan Kerian. Usaha yang dibuat oleh PAS Cawangan Kerian ini telah mendapat perhatian daripada Jawatankuasa Kerja Agung PAS, di mana ia diiktiraf sebagai salah satu program dakwah dan politik terpenting PAS dalam mesyuarat pada 26-27 Mac 1954. Ternyata program sekolah dewasa yang diperkenalkan oleh PAS di Kerian ini telah memberikan kesan yang besar terhadap peningkatan kesedaran rakyat, sekali gus menambahkan pengaruh PAS. PAS Cawangan Kerian adalah antara cawangan yang mempunyai Ranting PAS paling banyak sebelum 1955. Kesan segera yang dicapai oleh PAS ialah kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Federal pada 27 Julai 1955 di Kerian.

Kejayaan PAS dalam Pilihan Raya Federal 1955 ini telah menyedarkan pemimpin Umno tentang kepentingan sekolah dewasa dalam meningkatkan pengaruh mereka di kalangan orang Melayu di luar bandar. Pada 1961, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Tun Abdul Razak Hussein telah menubuhkan Bahagian Pelajaran Dewasa dengan tujuan utama untuk membasmi buta huta huruf. Ia bermula dengan kejayaan PAS melahirkan kumpulan orang dewasa yang celik huruf, diikuti oleh berkembangnya pengaruh PAS menjelang pilihan raya, pada tahun 1958, Persidangan Pembangunan Masyarakat Kedua di Kuala Lumpur telah menerima perakuan dari Jawatankuasa Khas Pelajaran Dewasa pada 3 Ogos 1960 untuk mewujudkan sekolah dewasa kerana buta huruf sebagai fenomena yang boleh menghalang kemajuan negara. Ia membawa penubuhan Bahagian Pelajaran Dewasa pada 1961. Pada 1969, bahagian ini dikenali sebagai Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
11 Februari 2017

{jathumbnail off}