Home Ensiklopedia Harian PAS

Ensiklopedia Harian PAS: Mesyuarat Agung Khas PAS Kerana Masalah Disiplin Parti

622 views
SHARE

 

ENSIKLOPEDIA HARIAN PAS

MESYUARAT AGUNG KHAS PAS KERANA MASALAH DISIPLIN PARTI


UNDANG-undang Tubuh PAS 1951 telah digubal dan diluluskan dalam Persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya di Bagan Tuan Kechil (Butterworth), Seberang Perai pada 24 November 1951. Antara peruntukkan yang penting dalam perlembagaan ini adalah berkaitan disiplin parti. Dalam draf (rang) Undang-undang Tubuh PAS pada asalnya tidak diperuntukkan tentang disiplin parti ini, tetapi ia diwujudkan oleh persidangan pada 24 November 1951 sebagai satu fasal baru iaitu Undang-undang Nombor 22 yang menghalang mana-mana pimpinan atau Ahli Jawatankuasa Kerja PAS dari menjadi ahli kepada mana-mana parti lain, selain PAS. Peruntukan ini kemudiannya menimbulkan masalah kepada persidangan tersebut apabila agenda perlantikan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS bermula.

Agenda pemilihan dan perlantikan pegawai-pegawai PAS adalah agenda kedua Persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya. Walau bagaimanapun, agenda ini mengalami kekusutan kerana hampir semua tokoh yang dicalonkan untuk memimpin PAS adalah ahli-ahli Umno yang membuat perakuan tidak sanggup berundur dari Umno bagi membolehkan mereka memimpin PAS. Faktor utamanya ialah kerana persidangan ulamak yang menggerakan penubuhan Persatuan Ulamak Se-Malaya pada 23 Ogos 1951 adalah ditaja oleh Bahagian Agama Umno. Sebahagian mereka mahu PAS kekal sebagai badan agama Umno, walaupun sebahagian yang lain mahu PAS berpisah dari Umno sehingga diwujudkan disiplin parti.

Kemelut ini telah menyebab agenda pemilihan dan perlantikan pegawai-pegawai PAS menjadi buntu. Pengerusi Tetap Persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya, Ustaz Haji Mohd Ghazali Abdullah dari Perak, kemudiannya telah menggunakan kebijaksanaannya dengan membubarkan persidangan tersebut sementara waktu bagi mencari jalan penyelesaian. Setelah itu, beliau mengisytiharkan persidangan tersebut bertukar menjadi Mesyuarat Agung Khas PAS mengikut Undang-undang Tubuh PAS 1951 bagi meminda undang-undang tubuh ini. Beliau kemudiannya mengusulkan satu cadangan bagi memansuhkan Ceraian (i) Undang-undang Nombor 22 Undang-undang Tubuh PAS yang berbunyi “Tiap-tiap seorang yang menjawat Jawatankuasa Kerja Persatuan Islam Se-Malaya ini tiadalah boleh memasuki mana-mana parti siasah yang lain.” Dengan pemansuhan ceraian ini, kemelut perlantikan Jawatankuasa Kerja PAS dijangka akan dapat diselesaikan.

Memandangkan keadaan persidangan yang mengalami kebuntuan akibat isu ini, seluruh ahli persidangan, termasuk pihak yang mencadangkan peruntukan yang berkait dengan disiplin parti terpaksa akur dengan usul yang dicadangkan oleh Ustaz Mohd Haji Ghazali Abdullah dalam Mesyuarat Agung Khas PAS ini. Cadangan ini telah diterima oleh Mesyuarat Agung Khas PAS, lalu Ceraian (i) Undang-undang Nombor 22 itu termansuh dengan sendirinya. Setelah itu, Mesyuarat Agung Khas PAS dibubarkan oleh Pengerusi Tetap dan mesyuarat itu kembali menjadi Persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya dan agenda pemilihan dan perlantikan pegawai-pegawai PAS berjaya diteruskan semula dengan lancar.

Mesyuarat Agung Khas PAS yang diisytiharkan secara tergesa-gesa oleh Pengerusi Tetap Persidangan Persatuan Ulamak Se-Malaya ini merupakan Mesyuarat Agung Khas yang pertama dalam sejarah PAS. Walaupun ia berlangsung beberapa ketika sahaja, tetapi ia telah berjaya menyelesaikan satu kemelut yang hampir menggagalkan proses penubuhan PAS. Seorang perwakilan dari Pulau Pinang, Haji Ahmad Mokhtar dalam ucapan penangguhan persidangan ini berkata, “Saya bermati-matian mengucapkan terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis Mesyuarat pada hari ini dari sebab kiranya lain daripada Tuan (Haji Mohd Ghazali Abdullah) memimpin mesyuarat pada hari ini haruslah mesyuarat kita ini tidak berjaya (kerana kemelut disiplin parti) dan cita-cita kita tidak berhasil dan kita balik dengan tangan kosong.”

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
22 Januari 2017

{jathumbnail off}