KUALA TERENGGANU – Sebanyak enam projek perumahan sedang dalam proses pembinaan di daerah Dungun, melibatkan keseluruhan 1,062 unit rumah yang direkodkan setakat Mac lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara projek tersebut termasuk pembinaan 182 unit Rumah Mampu Milik (RMM) Balai Besar yang terletak di Rantau Abang.
“Projek di bawah peruntukan kerajaan negeri ini telah bermula 12 Januari lalu dan dijangka siap 29 April 2028 dan kini telah memasuki peringkat kerja-kerja awalan di tapak termasuk kerja tanah,” ujarnya ketika sesi soalan lisan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli berkenaan perkembangan projek perumahan terkini di Dungun terutamanya di Rantau Abang.
Selain itu katanya, Projek Pemajuan Kawasan (PPK) di Bandar Al Muktafi Billah Shah yang melibatkan pembinaan 130 unit rumah di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang bermula pada 27 Disember 2023 dan dijangka siap pada 24 Jun depan kini memasuki fasa kerja bangunan dan infrastruktur.
“Manakala 70 unit rumah melalui projek Rumah Idaman Rakyat (RIR) Desa Idalam, Santong, Paka di bawah peruntukan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang memulakan pembinaan pada 28 Disember 2023 juga memasuki fasa kerja bangunan dan infrastruktur dan dijangka akan mendapat CCC pada Julai ini.
“Sementara, projek Perumahan Mampu Milik Dan Bercampur di Kampung Baru, Mukim Kuala Abang (154) yang bermula pada 7 Julai 2021 dan dijangka siap pada 7 Julai 2026 dibawah peruntukan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dalam proses kajian semula.
“Dan projek Perumahan di Taman Industri Park, Paka (178 unit rumah) serta Pembangunan Tanah di kawasan Kuala Paka (348 unit rumah) di bawah peruntukan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri terengganu (LTAWNT) masing-masing memasuki kerja-kerja bangunan dan infrastruktur (20 peratus) dan dalam proses kebenaran merancang,” ujarnya.