KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri dalam proses bagi membangunkan kawasan di sekitar enam stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) supaya menjadi pusat pemangkin pertumbuhan ekonomi dan industri baharu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan sedang merangka pelan induk bagi melaksanakan Pembangunan Berorientasikan Transit (Transit Oriented Development-TOD) di kawasan-kawasan tersebut.
“Katanya, beberapa siri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Tempatan juga, telah dilaksanakan bagi menyelaras perangkaan pelan induk ini.
“TOD ini adalah pendekatan perancangan bandar yang menekankan kepada pembangunan kawasan bercampur penggunaannya, mudah dijelajah dan dibangunkan dengan sistem pengangkutan yang cekap,” katanya.
Beliau berkata demikian di sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 baru-baru ini.
Tambah Ahmad Samsuri, TOD akan mampu memperkukuhkan kehidupan bandar yang lebih baik, lebih berdaya maju dan mesra alam.
“Dengan menggabungkan penduduk, aktiviti ekonomi dan ruang awam sambil menggalakkan kemudahan berjalan kaki dan berbasikal,” katanya.
Selain itu, Kerajaan Negeri bersama pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga sedang merangka perancangan bagi Economic Accelarator Projects (EAP).
“Ia bertujuan bagi merancakkan lagi pembangunan ekonomi dan industri kawasan sekitar stesen ECRL,” ujarnya.