Home Berita PAS Terengganu

Enam juruselam siasat paip rosak di dasar sungai

105
SHARE

Oleh:Fakrusy Syakirin Ahmad Sabri
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Enam juruselam dikerah bagi mengenalpasti punca pengoperasian tidak stabil yang berlaku pada paip di dasar Sungai Terengganu hingga menjejaskan bekalan air di Daerah Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) telah mengesan tekanan air rendah di jajaran paip ke Tangki Utama Berangan yang berada di paras tidak normal pada hari ini.

“Pasukan Teknikal SATU sedang giat menjalankan langkah-langkah pengesanan di dasar sungai untuk mengetahui keadaan sebenar di jajaran paip tersebut.

“Sebarang penemuan atau perincian kerosakan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Kami memohon pengguna di kawasan terlibat untuk bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya selepas mesyuarat di ibu Pejabat SATU, sebentar tadi.

Susulan itu, beliau melaporkan bantuan bekalan air melalui lapan lori tangki telah digerakkan hari ini mengikut penjadualan sebelum ini.

“Selain itu, kita telah memohon setiap wakil rakyat dan pegawai penyelaras di Dewan Undangan Negeri (DUN) terjejas bagi mengenalpasti lokasi 150 tangki statik yang ditempatkan bagi memastikan bekalan asas tersebut tidak terputus.

Tambahnya, bantuan bekalan air bersih juga akan disalurkan di peringkat DUN dan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO).