Home Berita PAS Perak

Enakmen baharu kawalan haiwan berkeliaran sangat diperlukan – PAS Perak

147
SHARE

IPOH, 10 Julai 2024 – Dewan Negeri Perak hari ini membincangkan cadangan usul untuk mewujudkan Enakmen atau Peraturan Baharu berkaitan pengawalan haiwan berkeliaran di negeri tersebut.

Usul ini dibahaskan oleh YB Haji Rosli bin Abd Rahman, ADUN Pasir Panjang, yang menyatakan bahawa langkah ini diharapkan dapat menyelesaikan ancaman yang dihadapi oleh penduduk akibat haiwan liar seperti monyet, anjing, babi, lembu, dan kerbau.

Dalam ucapannya, YB Haji Rosli menegaskan bahawa aduan mengenai gangguan haiwan liar seperti monyet yang merosakkan harta benda dan menyerang penduduk semakin meningkat.

“Beliau juga menyebut tentang insiden yang melibatkan anjing liar yang menyerang kanak-kanak dan babi yang memasuki kawasan perumahan dan pantai perkelahan.

“Ancaman ke atas keselamatan, harta benda, dan ketenteraman penduduk telah sampai ke peringkat yang sangat membimbangkan,” ujar beliau. YB Haji Rosli mencadangkan agar dokumen yang dihasilkan oleh Jawatankuasa Penyelaras Penangkapan Anjing Terbiar/Haiwan Merayau pada tahun 2022 dirujuk dan dimurnikan.

“Antara tindakan yang dicadangkan termasuklah menetapkan tatacara dan kewajipan kepada pemilik haiwan semasa pendaftaran haiwan kesayangan seperti memastikan haiwan divaksinasi, penggunaan kolar dengan lencana logam, pemandulan haiwan, dan pengenalan tetap melalui mikrocip atau tag telinga,” katanya.

YB Haji Rosli juga mencadangkan penubuhan pasukan petugas yang melibatkan agensi berkaitan, khidmat pegawai teknikal Jabatan Perkhidmatan Veterinar, dan penangkapan haiwan secara pelalian (tranquilizer gun).

Selain itu, beliau mencadangkan kempen kesedaran tanggungjawab pemilik haiwan dan orang awam serta penambahbaikan kaedah perlesenan anjing.

“Resolusi jangka panjang yang dicadangkan termasuk memberi kuasa menembak haiwan liar kepada anggota penguatkuasa PBT, mewujudkan perjawatan Pegawai Veterinar di PBT, menyediakan rumah perlindungan bagi anjing terbiar, dan mengenakan bayaran lesen yang tidak membebankan serta kompaun yang tinggi sebagai pengajaran,” tambahnya lagi.

Beliau menekankan kepentingan enakmen ini untuk melindungi keselamatan awam, memastikan keterjaminan kesihatan, melindungi harta benda, dan meningkatkan imej negeri Perak sebagai negeri yang bersih dan selamat.

Cadangan ini mendapat perhatian serius dari pelbagai pihak, terutamanya dalam usaha meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan penduduk Perak. Dewan Negeri Perak diharapkan akan mengambil tindakan segera untuk merealisasikan cadangan ini demi kebaikan bersama.