KEMAMAN – Empat peserta Program ‘King Of Subuh Warrior’ mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya hadir ke masjid untuk menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut tanpa gagal, sekali gus membawa pulang hadiah basikal sebagai penghargaan.
Pengarah Program, Wan Mohd Redzuan Mohd Kamar, berkata empat peserta tersebut ialah Isma Fakhrusy Syakirin Ismail, Isma Farish Syazreen Ismail, Muhammad Adam Yusuf Ishak dan Muhammad Umar Uwais Ishak.
“Cabaran Solat Subuh berjemaah 40 hari ini bukan sekadar membiasakan bangun awal, tetapi juga membentuk kekuatan rohani, disiplin diri dan hubungan erat dengan masjid.
“Selain empat peserta yang berjaya menamatkan cabaran penuh, kita juga meraikan pencapaian lain seperti 34 hari, 25 hari, 14 hari, 13 hari dan 10 hari,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Penutup ‘King Of Subuh Warrior’ bertempat di Masjid Batu 9 semalam.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris dan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Masjid Batu 9, Ustaz Abdul Halim Bahari, serta barisan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPPK) Batu 9.
Sementara itu, Ishak Ibrahim, 47, bapa kepada dua peserta cilik, Adam Yusuf (12) dan Umar Uwais (11) berkongsi pengorbanan keluarga demi memastikan anak-anaknya menamatkan cabaran tersebut.
“Alhamdulillah, anak-anak saya mudah bangun Subuh. Pernah satu hari saya kerja syif malam dari jam 7 malam hingga 7 pagi. Mereka risau kerana biasanya ke masjid bersama saya menaiki motosikal bertiga.
“Namun, mereka tetap bertekad hadir dan meminta ibu mereka menghantar ke masjid supaya cabaran 40 hari tidak terhenti.
“Sepanjang program ini, kami banyak membatalkan aktiviti lain demi memastikan cabaran ini berjaya. Terima kasih kepada semua yang terlibat. Saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.