KUALA TERENGGANU- Kerajaan negeri berharap agar peniaga makanan di bazar Ramadan tidak menjual makanan basi ataupun telah rosak semata-mata demi mengaut keuntungan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, jika didapati berlaku satu tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang terlibat.
“Gerai perniagaan akan diarah untuk ditutup ini akan merugikan peniaga itu sendiri setelah dua tahun tidak berniaga, sudah tentu tiada yang hendak perkara sebegini terjadi, kita sendiri faham rakyat hendak mencari rezeki dan memulihkan kembali ekonomi untuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri melalui keuntungan yang diperolehi.
“Sebenarnya kerajaan sangat mengalakkan rakyatnya berusaha dengan berniaga ini setelah dua tahun tidak dapat berniaga secara normal kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya kira sekarang ini dah boleh berniaga macam biasa cuma kena jaga tahap kebersihan makanan.
“Kita juga nasihatkan agar pakai ‘apron’ bagi mengelakkan berlakunya kes keracunan makanan apabila berlaku bazar terpaksa ditutup, yang akan tanggung kerugian adalah peniaga itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Taman Shahbandar, semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Datuk Bandar MBKT, Rozali Salleh.
Mengulas lanjut Dr. Alias berkata, para peniaga perlu sentiasa mengamalkan kejujuran dalam berniaga kerana ia juga dituntut oleh agama, bukan semata-mata menumpukan kepada sudut memperolehi keuntungan mudah yang akhirnya membawa kesan buruk kepada pernigaan serta orang ramai.
“Kerana ajaran Islam tidak membenarkan menjual barang makanan yang telah rosak kepada pelanggan, walaupun penguatkuasa atau doktor tidak membuat pemantauan pada setiap masa tetapi Allah ada bersama kita,” katanya lagi.