KUALA TERENGGANU – Persidangan East Coast Energy (ECE) 2025 membuka ruang strategik buat Terengganu untuk melangkah lebih jauh sebagai peneraju utama dalam pembangunan sumber tenaga hijau negara.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, persidangan berprestij selama dua hari itu menghimpunkan rakan teknikal serta para pemain industri yang telah menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri, khususnya dalam sektor minyak dan gas.
Menurutnya, ECE 2025 merupakan sebuah gerakan strategik ke arah masa depan, yang menyaksikan Terengganu muncul sebagai peneraju dalam transformasi tenaga bersih berasaskan inovasi, daya tahan dan pemerkasaan serantau.
“Ketika Malaysia merangka laluan menuju ekonomi rendah karbon, Pantai Timur bersedia untuk memimpin dengan keyakinan.
“Ia juga merupakan satu inisiatif baharu yang membuka ruang kerjasama antara kerajaan negeri dan semua rakan teknikal yang hadir hari ini, bagi meneroka dengan lebih mendalam keperluan serta potensi dalam mencapai matlamat tenaga hijau yang dihasratkan untuk Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas majlis perasmian pembukaan ECE 2025 yang dirasmikan oleh Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tuanku Muhammad Ismail di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, setakat ini, projek ladang solar terapung berkapasiti 2 gigawatt (GW) sedang dibangunkan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bersama rakan strategik, Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta firma Arab Saudi, ACWA Power.
ECE 2025 dianjukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu bersama Majlis Petroleum Terengganu (TPC), menghimpunkan lebih 900 delegasi berpengaruh termasuk pembuat dasar, pemimpin industri tenaga global, pelabur serta inovator teknologi, yang komited membina masa depan tenaga yang lebih berdaya tahan, inklusif dan rendah karbon untuk rantau ini dan negara.
Bertemakan ‘Menginovasikan Tenaga, Mengangkat Pantai Timur’, ECE 2025 berperanan sebagai pemangkin pelaburan strategik, perkongsian teknologi dan penyelesaian kolaboratif terhadap cabaran tenaga dan alam sekitar.