Home Berita PAS Terengganu

ECE 2025 buka potensi Pantai Timur

2
SHARE

KUALA TERENGGANU – Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan harapan agar East Coast Energy 2025 (ECE 2025) menjadi pemangkin kepada pembukaan potensi besar rantau Pantai Timur dalam bidang tenaga mampan negara.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat merasmikan persidangan sulung itu yang berlangsung di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, pagi tadi.

Titah baginda, rantau Pantai Timur mempunyai potensi yang luas bukan hanya dari segi sumber, tetapi juga dari aspek modal insan dan keupayaan institusi.

“Adalah menjadi harapan beta agar inisiatif seperti ECE 2025 dapat membuka potensi ini, memacu peralihan tenaga negara serta memperkasa kedudukan sosioekonomi masyarakat, sambil kekal berpegang pada prinsip pemeliharaan alam sekitar dan tanggungjawab antara generasi,” jelasnya.

Dalam titah itu, baginda turut menyatakan bahawa ECE hadir pada saat dunia semakin mendesak kepada amalan pembangunan mampan dan pengurusan tenaga yang bertanggungjawab.

Baginda menzahirkan rasa gembira apabila melihat perhimpunan pemimpin, pakar dan pelaksana dasar yang berkongsi visi membina masa depan tenaga lebih bersih dan berdaya tahan.

“Biarlah persidangan ini menjadi peringatan bahawa kemajuan bukan sekadar diukur dari pencapaian teknologi atau keuntungan ekonomi semata-mata, tetapi dari keupayaan kolektif kita untuk mengangkat masyarakat dengan berteraskan integriti, keterangkuman dan kelestarian,” titah baginda lagi.

Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur iaitu Kerajaan Negeri Terengganu, PETRONAS, Terengganu Inc., EPIC Berhad serta semua pihak yang menjayakan platform kolaborasi dan inovasi berimpak tinggi ini.

ECE 2025 berlangsung selama dua hari dan menjadi landasan kepada pembentukan kerjasama strategik dalam sektor tenaga mampan melibatkan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara.