11 Oktober 2021
Oleh : Nurul Syakinah Syaning
LAHAD DATU: PASTI Lahad Datu meneruskan usaha mencungkil dan menggilap bakat anak-anak melalui e-Alam Ria yang dilaksanakan secara dalam talian semalam.
Acara yang telah dipertandingkan adalah azan, khutbah, hafazan, pidato, sajak dan bercerita yang melibatkan enam PASTI seluruh Lahad Datu.
Menariknya, hanya acara hafazan yang dilaksanakan secara langsung manakala acara lain diadili dengan membuat penilaian pada rakaman video yang dihantar.
“Didiklah anak-anak kita agar mencintai Al-Quran dan berakhlak mulia sedari kecil lagi seperti mana nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya,” ujar Ustaz Mohd Zaki Ibrahim dalam ucapan perasmian.
Juara keseluruhan telah disandang oleh PASTI al-Falah. Johan setiap acara yang dipertandingkan akan menjadi wakil PASTI Lahad Datu ke e-Alam Ria Negeri Sabah.
Program yang julung kalinya dilaksanakan secara dalam talian ini diadakan melalui aplikasi _Google Meet_ turut dihadiri oleh ahli jawatankuasa pelaksana, ibu bapa dan para peserta.