Home Berita PAS Wilayah

DUPWP : JAUHI MAKLUMAT PALSU : CERMATI MAKLUMAT BERKENAAN CORONAVIRUS DI MEDIA SOSIAL

995
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMAK PAS WILAYAH PERSEKUTUAN

JAUHI MAKLUMAT PALSU : CERMATI MAKLUMAT BERKENAAN CORONAVIRUS DI MEDIA SOSIAL
(29 Januari 2020)

1. Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) bersetuju dengan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri supaya masyarakat Malaysia mengambil sikap ‘tabayyun’ iaitu menyelidik kesasihan setiap maklumat yang diperolehi sebelum disebarkan. Ia susulan daripada berita penularan wabak penularan coronavirus baharu (2019-nCoV) masuk ke negara ini beberapa hari lalu. Kami mendapati ada pihak yang suka berkongsi dan menyebarkan maklumat palsu bagi mensensasikan keadaan yang pada hakikatnya tidak berlaku atau fakta yang tidak tepat.

2. Sikap ‘Tabayyun’ seperti yang disarankan oleh Sahibus Samahah Datuk Seri Dr Zulkifli amat penting bagi menjaga ketenteraman dalam masyarakat. Disiplin menjaga kesahihan maklumat dengan menapis serta mendapatkan sumber yang betul amat penting di waktu genting seperti ini agar masyarakat mengetahui keadaan sebenar.

3. Di dalam Al Quran, Allah telah memerintahkan orang beriman supaya meneliti setiap maklumat atau berita dengan mendapatkan kebenarannya, kerana kesilapan menyelidiki sesuatu maklumat secara semberono boleh mengakibatkan kita menyesal (berdosa) di atas tindakan yang dilakukan. Berita atau maklumat yang tidak benar boleh dianggap fitnah, yang mengundang dosa besar jika tidak bertaubat. Allah SWT berfirman:-

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Al-Hujuraat ayat :6)

4. Dalam isu penularan wabak Coronavirus, sikap segelintir rakyat Malaysia yang tidak berhati-hati dalam penyebaran maklumat boleh mencetuskan suasana tidak senang, panik, huru-hara serta boleh menjejaskan ketenteraman awam. Isu ini adalah isu sejagat yang perlu ditangani secara bersama dan bijak oleh kerajaan dan rakyat tanpa membiarkan ada pihak yang mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh. Isu ini tidak wajar dipolitikkan dan disensasikan oleh mana-mana pihak. Keprihatinan rakyat dalam menolak berita palsu adalah langkah bijak mengelakkan wabak penularan maklumat tidak sahih dari merajai dan menguasai negara ini.

HJ MD ALI JAMIL
Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan