KUALA TERENGGANU, 18 Jun – Terengganu bersedia untuk mengadakan Persidangan Dewan Undangan negeri (DUN) selepas mendapat arahan daripada kepimpinan negeri.
Yang Dipertuanya, Dato’ Yahaya Ali, berkata persidangan DUN akan diadakan selepas meneliti perkembangan sidang Parlimen.
“Buat masa sekarang, kita tengok dahulu perkembangan persidangan Parlimen dan menunggu arahan selanjutnya daripada kepimpinan negeri,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Kali terakhir, DUN Terengganu bersidang ketika pembentangan Bajet 2021 oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar November lalu.
Rabu lalu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Pelan Pemulihan Negara yang dibentang kerajaan dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahaskan Ahli Dewan Rakyat.