DUNGUN – Seramai 700 asnaf dan anak yatim dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang menerima sumbangan sebagai persediaan menyambut Syawal kali ini.
Sumbangan berupa pakaian dan keperluan hari raya itu merupakan inisiatif berterusan yang dijalankan pihak DUN Rantau Abang dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, program berkenaan merupakan salah satu usaha tahunan untuk memastikan golongan asnaf dan anak yatim tidak ketinggalan dalam merayakan bulan Syawal dengan penuh keceriaan.
“Kutipan sumbangan kali ini adalah hasil daripada sumbangan masyarakat setempat, termasuk individu dan syarikat koperat yang prihatin.
“Alhamdulillah , menerusi sokongan daripada semua pihak, kami dapat melaksanakan program ini dengan lebih baik setiap tahun.
“Terima Kasih kepada semua yang telah menyumbang dalam tabung kebajikan Ramadan kali ini, di mana sumbangan tersebut memberi harapan dan kegembiraan kepada penerima,” katanya.
Mohd Fadhli turut mendoakan agar Syawal tahun ini menjadi tahun yang lebih bermakna buat golongan asnaf dan anak yatim, dan semoga mereka terus diberkati dengan rezeki yang melimpah.