KEMAMAN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal meningkatkan persediaan menghadapi musim tengkujuh dengan melancarkan Pasukan Sukarelawan N30 Kijal Sehati yang dilengkapkan dengan kenderaan 4×4, jentera JCB, bot dan peralatan kecemasan.
ADUN Kijal, Datuk Razali Idris berkata pelancaran pasukan itu membuktikan komitmen DUN Kijal untuk memastikan bantuan dapat digerakkan dengan cepat sekiranya berlaku banjir, tanah runtuh atau kecemasan lain.
“Musim tengkujuh sudah bermula dan semua pasukan perlu bersedia sepenuhnya. Dengan adanya 4×4, JCB, bot dan sukarelawan yang terlatih, Insya-Allah, kita boleh bertindak segera bila diperlukan.
“Pasukan Sukarelawan N30 Kijal Sehati akan beroperasi sepanjang musim tengkujuh termasuk membuat rondaan kawasan berisiko, memantau paras air dan membantu pemindahan mangsa banjir,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program Majlis Pelancaran Sukarelawan N30 Kijal Sehati bertempat di Paya Lasir, Bandar Baru Kijal kelmarin.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh wakil Parlimen Kemaman, seluruh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Kijal, sukarelawan sekitar dan pasukan teknikal.
Razali berkata dengan pelancaran itu, Insya-Allah DUN Kijal berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana di kawasan Kijal.
“Sebanyak 300 vest sukarelawan turut diagihkan kepada JPKK dan sukarelawan sebagai persediaan menghadapi sebarang kejadian banjir, kebajikan dan kecemasan,” ujarnya.






