KUALA TERENGGANU – Dua tahun lalu, seorang Pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Buruk pernah meraih gelaran pendebat bahasa Arab terbaik dunia di Qatar, sekali lagi mencipta kejayaan apabila muncul pelajar terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Terengganu.
Wan Amzar Izzuddin Wan Mohd Azlan telah diumumkan sebagai salah seorang calon yang berjaya meraih Mumtaz Sofi (cemerlang tinggi) yang diumumkan kelmarin.
Bercita-cita untuk menjadi seorang wakil rakyat, dia berkata kejayaan itu adalah hasil sokongan berterusan daripada ibu bapa, guru, dan rakan-rakan seperjuangan serta keazamannya.
Katanya, kejayaan bukan milik mereka yang berbakat semata-mata, tetapi milik mereka yang tidak pernah kenal erti putus asa.
“STAM bukan sekadar ujian di atas kertas. Ia latihan untuk sabar, ikhlas, dan bertawakal dalam perjuangan ilmu.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang atas kejayaan ini dan secara tidak langsung berjaya membalas jasa semua yang percaya pada saya terutama ibu bapa, guru dan rakan-rakan.
“Ingatlah kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha gigih sebagaimana ketika saya muncul pendebat bahasa Arab terbaik dunia pada 2023 selepas berjaya menewaskan 72 peserta lain termasuk negara Arab,” katanya ketika ditemui.
Amzar yang kini aktif memperjuangkan isu belia Terengganu terutama selepas dilantik sebagai Adun Belia Kota Putera, Besut juga turut melatih pasukan debat bahasa Arab Malaysia pada tahun ini.
Sementara itu, bapanya, Wan Mohd Azlan Wan Ahmad, 54, berkata, dia begitu gembira dengan pencapaian anak kelima daripada enam beradik itu.
“Namun kejayaan yang hadir memerlukan pengorbanan dan usaha berterusan tanpa rasa jemu,” katanya.
Selain Wan Amzar, dua lagi pelajar SMAASZA turut mengharumkan nama sekolah berkenaan selepas masing-masing turut memperoleh Mumtaz Sofi iaitu Wan Muhammad Fakhrullah dan Tuan Hafizuddin sekali gus menjadikan tiga pelajar daripada sekolah berprestij itu yang berjaya mendapat keputusan tertinggi dalam STAM 2024.
Secara tidak langsung , SMAASZA terus mengekalkan reputasinya sebagai antara sekolah agama terbaik di negeri Terengganu, khususnya dalam melahirkan pelajar berilmu dan berjiwa pemimpin.