Home Berita PAS Terengganu

“Dulu menyewa, sekarang miliki rumah sendiri” – Luahan syukur penjual sayur

7
SHARE

KUALA NERUS – “Tiga kali temuduga, enam tahun menunggu, akhirnya rezeki Allah bagi juga,” itu luahan penuh syukur wanita yang mahu dikenali sebagai Nora, 33, seorang penjual sayur yang bersama suaminya Mohd Zubir Ngah, 35.

Impian mereka untuk memiliki rumah pertama akhirnya ternokhtah selepas menerima inisiatif Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal Sejahtera di bawah Kerajaan Negeri Terengganu.

Bagi pasangan ini, rumah bukan hanya tempat berteduh namun ia hadiah paling bermakna selepas bertahun menabung mimpi.

“Abang (suami) dah tiga kali temuduga, masa bujang, masa awal kahwin, sekarang ni, lepas enam tahun kahwin, baru dapat. Syukur sangat,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman dengan senyuman yang menahan sebak semalam.

Pasangan ini menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual sayur di pasar pagi Bukit Besar, warisan tapak niaga ibunya yang kini menjadi punca rezeki mereka.

Kini mereka perlu keluar rumah lebih awal setiap hari kerana jarak dari Tok Jembal ke tapak niaga agak jauh berbanding dahulu ketika tinggal di Panji Alam.

Namun, kata Nora, semua itu tidak menjadi masalah apabila dibandingkan dengan rezeki besar yang Allah kurniakan.

“Dulu sewa RM600 di Bukit Tunggal. Sekarang cuma RM320 (bayaran sewa beli) sekali dengan kos ‘maintenance’.

“Banyak sangat dapat jimat. Tak sangka, rezeki besar macam ni datang pada kami juga,” jelasnya.

Bagi seorang lagi penerima, Mohd Hasbullah Halmi, 37, detik menerima kunci rumah ibarat menyambut kelahiran harapan baru dalam hidupnya.

“Sejak pecah tanah lagi saya mohon. Enam tahun tunggu. Akhirnya hari ni Allah izinkan saya genggam kunci rumah sendiri.

“Terima kasih Kerajaan Terengganu. Ramai mohon, bukan senang nak dapat. Tapi hari ini, saya tahu, setiap doa itu akhirnya akan sampai,” katanya yang berkali-kali mengulang ucapan syukur.

Terdahulu Kerajaan Negeri memaklumkan, sebanyak 160 unit rumah pangsa dibina di atas tanah seluas 4.2 ekar di Kampung Tok Jembal.

Seramai 142 penerima sudah menerima kunci, dan 12 lagi akan menyusul tidak lama lagi.

Dengan harga bersubsidi RM80,000 (harga asal RM150,000), pemilik hanya perlu membayar serendah RM221.10 sebulan, dengan RM100 bayaran penyelenggaraan.

Rumah berkeluasan 801.48 kaki persegi itu dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, tempat letak kereta berbumbung, dewan serbaguna dan taman permainan sebuah pakej sempurna buat keluarga yang baru bermula. Di sebalik tekanan kos sara hidup yang semakin mencengkam rakyat, program RPMM benar-benar membantu mereka yang memerlukan.