Home Berita PAS Terengganu

Duit raya untuk rakyat Terengganu dibayar mulai 17 April

300
SHARE

KUALA TERENGGANU – Bayaran duit raya atau i-Fitri 2023 kepada rakyat negeri ini yang layak akan dibuat bermula 17 April depan secara tunai di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata bantuan melibatkan peruntukan berjumlah RM43.452 juta akan dibayar kepada 144,840  ketua isi rumah (KIR).

“Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak akan menerima bantuan i-Fitri antara RM300 dan pengagihan secara tunai akan dilakukan secara berperingkat.

“Hampir 148 ribu yang telah memohon dan hanya tiga peratus ditolak permohonan mereka kerana tidak mematuhi syarat seperti pemohon merupakan penjawat awam kerana mereka mendapat bonus khas sebanyak RM700 daripada kerajaan…ada juga kes yang ditolak kerana kesilapan nombor kad pengenalan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pengurusan Kelab Warga Emas YPKT Tahun 2023 di Dewan Utama YPKT di sini hari ini.

Sementara itu bagi i-Perantau , pembayaran akan dibuat selepas hari raya kerana buat masa sekarang ia masih dalam proses pendaftaran.

“Pengagihan bantuan i-Perantau kepada mereka yang layak akan dilakukan selepas sambutan Aidilfitri seperti tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya.

Antara syarat utama i-Fitri Perantau, bagi salah seorang KIR, mestilah rakyat Terengganu yang menetap di luar, juga merupakan pengundi berdaftar di Terengganu.