HULU TERENGGANU – Seorang ibu tunggal yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran baru-baru ini terharu selepas dibawa membeli pakaian raya di sebuah pasar raya oleh Exco Kerajaan Negeri.
Zuraidah Muhammad, 40, yang menetap di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong bersama empat anaknya, tidak dapat menahan sebak apabila menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, yang sebelum itu turun padang melihat sendiri kemusnahan rumahnya akibat kebakaran.
“Selepas rumah kami musnah dalam kebakaran isnin lalu, saya buntu memikirkan bagaimana mahu menyediakan kelengkapan raya buat anak-anak.
“Sumbangan ini amat bermakna buat kami sekeluarga,” kata Zuraidah dengan nada sebak.
Menurut Maliaman, bantuan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif beliau untuk membantu keluarga yang ditimpa musibah, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri yang bakal tiba.
“Kami prihatin dengan nasib yang menimpa Puan Zuraidah dan anak-anaknya.
“Selain membawa mereka membeli pakaian raya, kami juga sedang mengusahakan bantuan rumah sementara serta keperluan lain untuk memastikan mereka dapat menyambut Syawal dengan lebih selesa,” katanya.
Dalam kejadian kebakaran yang berlaku Isnin lalu, rumah Zuraida hangus dijilat api dipercayai akibat litar pintas.
Walaupun tidak mengalami kecederaan, beliau dan anak-anaknya kini menumpang di ibunya sementara menunggu bantuan perumahan daripada pihak berkuasa.
Turut hadir dalam sesi membeli baju raya Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Telemong, Zawawi Ismail dan Pengerusi NGO SCM Hulu Terengganu, Safari Abu.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Zuraida dan keluarganya boleh berbuat demikian dengan menghubungi Pusat Khidmat Adun Telemong.