Oleh : HABSAH ALI
KUANTAN, 17 Okt : Sudah hampir dua tahun kerosakan bumbung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baging belum dibaik pulih, sekali gus menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran guru serta pelajar sekolah berkenaan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB Dato’ Andansura Rabu berkata, kerosakan tersebut menyebabkan lebih 20 buah bilik termasuk bilik darjah, makmal dan bengkel tidak dapat digunakan.
Beliau melahirkan rasa kesal apabila dimaklumkan oleh ibu bapa bahawa masalah itu masih berlarutan hingga kini.
“Ia memberi kesulitan kepada guru-guru untuk menyusun kelas pelajar, mengatur pembelajaran dan menyediakan kemudahan sebaiknya. Masalah ini bukan baru berlaku, malah sudah hampir dua tahun,” katanya menerusi kenyataan di laman sosialnya hari ini.
Menurut beliau, pihaknya pernah menghantar surat kepada Menteri Pendidikan pada Mei tahun lalu agar kerja pembaikan disegerakan. Namun katanya, walaupun dimaklumkan bahawa peruntukan telah tersedia dan kerja pembaikan dijangka siap tahun ini, maklumat terbaharu yang diterima mendapati penilaian semula perlu dilakukan kerana tahap kerosakan yang lebih besar daripada jangkaan awal.
“Saya tidak lagi dijemput menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah selepas itu, maka tiada maklumat lanjut diterima. Namun apabila ibu bapa membangkitkan perkara ini, menjadi tanggungjawab saya untuk mengenengahkannya,” ujarnya.
Dato’ Andansura berharap pihak berkaitan dapat mempercepatkan segala prosedur agar kelas-kelas terjejas dapat digunakan semula selewat-lewatnya menjelang sesi persekolahan 2027
Beliau turut menyeru pihak kerajaan agar lebih prihatin terhadap kebajikan guru dan pelajar di luar bandar yang sering berhadapan dengan isu infrastruktur sekolah yang ketinggalan.
“Kita tidak mahu masalah yang berlarutan ini menjejaskan semangat pelajar untuk belajar. Pendidikan adalah hak semua anak bangsa, dan ia harus diberi perhatian segera tanpa alasan birokrasi,” tegas beliau.