Home Berita PAS Terengganu

Dua stadium utama Terengganu dalam proses penambahbaikan

14
SHARE

KUALA TERENGGANU – Dua stadium utama negeri, iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), kini sedang menjalani proses penambahbaikan yang melibatkan aspek padang dan sistem pencahayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerja-kerja penyelenggaraan itu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bagi SSMZA dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi SSINS.

“Padang SSMZA kini berada dalam fasa akhir kerja menaik taraf sistem saliran, manakala rawatan rumput sedang dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, kerja menaik taraf sistem saliran dijangka siap sepenuhnya penghujung Julai ini, sementara kerja rawatan semula rumput padang sedang berjalan secara berfasa.

Dalam masa sama katanya, kerajaan negeri turut memberi tumpuan terhadap aspek pencahayaan lampu limpah di stadium tersebut.

“Usaha sedang dilaksanakan bagi memastikan tahap pencahayaan lampu limpah di SSMZA dapat dinaik taraf dan melepasi piawaian minimum ditetapkan. Kita mahu pastikan semua aspek teknikal memenuhi standard semasa,” jelasnya.

Beliau memberi jaminan akan terus memantau perkembangan penyelenggaraan kedua-dua stadium tersebut agar ia dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk pembangunan sukan negeri.

“Insya-Allah, saya akan berikan perhatian terbaik terhadap kedua-dua venue ini melalui pengurusan MSNT untuk SSMZA dan MBKT bagi SSINS. Sama-sama kita doakan semua urusan dipermudahkan oleh Allah SWT,” tambahnya.

Mengulas perlawanan persahabatan pramusim antara Terengganu FC dan Penang FC yang berlangsung malam tadi di SSINS, Hishamuddin menyifatkannya sebagai penuh nostalgia buat penyokong setia bola sepak negeri. “Venue perlawanan di SSINS menggamit memori indah penyokong Terengganu. Kedudukan tempat duduk yang dekat dengan padang memberi keselesaan menonton dan suasana yang cukup nostalgik,” ujarnya.