Oleh : Mohd Syamil Azhar
GERIK: Yop Daha selamat dipindahkan ke Taman Negara, namun Jabatan Perlindungan dan Taman Negara (PERHILITAN) terus menggiatkan usaha mengesan dua lagi gajah liar yang masih berkeliaran di kawasan hutan Felda Bersia Timur.
Pengarah PERHILITAN Negeri, Yusoff Shariff, berkata usaha mengesan pasangan gajah jantan dan betina itu dilakukan oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perak bagi memantau keadaan terutama di kawasan berhampiran penduduk.
Beliau menjelaskan bahawa UTG akan mempergiat usaha agar pasangan gajah tersebut kembali semula ke habitat asalnya dan mengelakkan gangguan tehadap penduduk setempat.
Katanya lagi, PERHILITAN telah menerima aduan penduduk pada Khamis lalu yang melihat kelibat pasangan mamalia liar itu yang sedang merosakkan tanaman mereka seperti kelapa sawit, getah, pisang dan kelapa
“Pasangan jantan dan betina itu dipercayai daripada kumpulan yang sama dengan Yob Daha, seekor gajah jantan yang berjaya ditangkap UTG pada minggu lalu yang dilaporkan telah merosakkan tanaman milik penduduk.
“Kumpulan gajah itu, termasuk Yob Daha telah melakukan kerosakan ke atas tanaman kelapa sawit, getah, pisang dan kelapa milik penduduk.
“Dianggarkan menyebabkan kerugian sebayak RM2,500,” katanya kepada media ketika operasi pindah mamalia diberi nama Yob Daha itu di hutan Felda Bersia Timur dekat sini baru-baru ini.
Yusoff berkata, Yob Daha yang dianggarkan berusia antara 18 dan 20 tahun seberat 2,000 kilogram itu dipindahkan ke Taman Negara dengan khidmat Rambai dan Abot, dua gajah denak yang dibawa dari Kuala Gandah, Pahang.
Katanya, operasi lebih dua jam bermula jam 3 petang itu dikendalikan oleh 23 kakitangan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah dan PERHILITAN Perak.