Home Berita PAS Terengganu

Dua Acara Baharu dipertandingkan Rebut Piala YDSM 2024

26
SHARE

KUALA TERENGGANU – Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) memperkenalkan dua acara baharu dalam pertandingan Program Pengukuhan Bahasa Inggeris bagi merebut Piala YDSM 2024 iaitu Public Talk: Back To The Future dan My Terengganu Proposal  Quest.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Azri Sani Dato’ Mazlan berkata, Program Pengukuhan Bahasa Inggeris yang memasuki tahun ke-11 penganjurannya itu telah mencapai hasil yang membanggakan dengan beberapa pembaharuan yang dilaksanakan menjadikan lima pertandingan iaitu Smart English, Choracisical Sketch, Chain Stori Telling dan dua acara baharu yang dipertaruhkan kali ini lebih mencabar.

“Acara baharu iaitu Public Talk: Back To The Future bertujuan menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah menengah di negeri ini.

“Ia lebih kepada menekankan kematangan pelajar membentang cita-cita dan aspirasi selain memupuk mereka menjadi pengkaji kerana pembentangan perlu dikuatkan dengan bukti.

“Untuk tahun rintis ini, seramai 102 pelajar dari 43 sekolah telah mengambil bahagian dimana peserta mempamerkan kebolehan serta matang dalam menyampaikan idea masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pengurniaan Hadiah Piala Yayasan DiRaja Sultan Mizan 2024 bagi Program Pengukuhan Bahasa Inggeris dan Program Pengukuhan Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Negeri Terengganu di Istana Syarqiyyah, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka anakanda, Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Jelani Sulong dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, M. Rozi Bidin.

Pada majlis itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu diangkat sebagai johan pertandingan Smart English, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong, Hulu Terengganu johan kategori pertandingan Chorasical Sketch; Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu johan pertandingan Chain Story Telling.

Sementara bagi acara baharu iaitu Public Talk: Back To The Future johan dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nurul Ittifaq, Besut dan johan My Terengganu Proposal Quest adalah Sekolah Menengah Kebangsaan kompleks Gong Badak, Kuala Nerus.

Azri Sani berkata, Program Pengukuhan Bahasa Arab yang memasuki tahun ke-8 penganjurannya pula masih meneruskan pertandingan Kalam Jama’ie dan Dikir Arab bagi mencungkil bakat pelajar dalam penguasaan Bahasa Arab di peringkat sekolah menengah agama di negeri ini.

Tambah beliau, mulai tahun ini juga pertandingan akhir program diadakan dalam bentuk Karnival Bahasa Inggeris Dan Bahasa Arab Piala YDSM menjadikan suasananya lebih meriah.