KUALA TERENGGANU, 10 Mac – Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge) bakal dinobatkan sebagai jambatan pertama di dunia yang beroperasi menggunakan 98 peratus tenaga solar tidak lama lagi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata Jambatan Angkat Kuala Terengganu telah didaftarkan di bawah Green Energy Tariff dan telah menerima sijil pengiktirafan daripada The International Tracking Standard Foundation.
“Sepanjang tahun 2024, kadar penggunaan elektrik di jambatan angkat ialah sebanyak 176 megawatt untuk menara utara dan 294 megawatt di menara selatan.
“Peralihan kepada tenaga solar ini adalah usaha kita untuk menyahut seruan kerajaan ke arah melestarikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (Environmental, Social and Governance – ESG),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pengendalian dan Pengurusan Operasi Jambatan Angkat Antara Kerajaan Terengganu Dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Trg Inc) Serta Penyerahan Perjanjian Pengendalian Dan Pengurusan Operasi Kepada TI Properties Sdn Bhd di sini, petang semalam.
Melalui perjanjian itu, Terengganu Inc melalui anak syarikatnya, TI Properties Sdn Bhd terus diberi kepercayaan untuk mengendalikan operasi jambatan angkat selama lima tahun hingga 31 Mei 2029.
Tambahnya, kos pengoperasian dan penyelenggaraan Jambatan Angkat bagi tempoh 2019 hingga Disember 2024 telah mencecah RM11.75 juta.
“Yang mana sehingga kini, Terengganu Inc telah menanggung sebanyak RM8.12 juta bagi kos penyelenggaraan terlibat,”ujar beliau lagi.
Burhanuddin Hilmi juga berkata, keunikan Jambatan Angkat sebagai mercu tanda ikonik negeri Terengganu terbukti apabila menerima anugerah dan pengiktirafan oleh pelbagai pihak.
“Pada 2019, Jambatan Angkat telah dianugerahkan ‘Best New Tourism Icon Kuala Terengganu’ dan Malaysia Tourism Council, (Gold Award) Kuala Terengganu drawbridge.
“Manakala pada tahun 2023, ia diberi pengiktirafan Malaysia Tourist Quality Assurance (Gold Award) yang memberikan imej positif kepada pelancongan di Terengganu,” katanya.