KEMAMAN – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar enggan mendabik dada ataupun merasa selesa dengan sokongan rakyat dan pemerhati politik atas prestasi cemerlang sepanjang mentadbir negeri ini.
Beliau sebaliknya berkata, usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat akan terus ditingkatkan pada masa akan datang.
Katanya, jika PAS terus diberi kepercayaan untuk penggal akan datang, parti itu akan terus meningkatkan mutu perkhidmatan agar segala agenda untuk rakyat akan dapat dijayakan.
“Saya tidak memberi markah kepada diri sendiri apa yang penting kami (telah) laksanakan (segala amanah) dengan cara yang terbaik. Namun begitu, sudah tentulah masih ada ruang yang boleh kita tambah baik untuk dilaksanakan.
“Sebab itu jika diberi amanah dan ruang oleh rakyat sekali lagi, insya-Allah kami akan memperbaiki segala kelemahan yang lalu serta akan menambah perkara yang tidak boleh dilaksanakan pada sesi (penggal) kali ini kita akan terusakn pada sesi akan datang dengan cara yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Program Prihatin Ramadan dan Majlis Perasmian Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Daerah Kemaman, di Masjid Batu 2 1/2, Mak Chili, Kemaman, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada kali ini PAS telah melakukan persediaan terbaik termasuk akan membentangkan manifesto di luar jangka khusus untuk rakyat negeri ini.
“Telah ada dalam jadual mengenai tarikh akan dilancarkan manifesto, jadi kepada semua tunggulah kedatangannya.
“(Mengenai) pembahagian kerusi rundingan peringkat pertama telah dilakukan, ada sedikit lagi perkara yang belum selesai dan saya percaya dalam tempoh yang terdekat akan dapat diselesaikan dan ia telah berjalan,” ujarnya lagi.