KEMAMAN – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menasihati para penerima surat tawaran Rumah Mampu Milik (RMM) Gong Chengal Sejahtera 2 agar menjaga amanah, antaranya dengan menyelesaikan bayaran bulanan yang dikenakan.
Beliau turut berharap, komitmen yang ditunjukkan akan menjadikan RMM berkenaan sebagai contoh perumahan yang harmoni dan sejahtera.
“Saya mewakili Kerajaan Negeri, ingin menyeru kepada semua bakal penerima rumah agar menjaga amanah rumah ini sebaik mungkin.”Laksanakan tanggungjawab semua dengan penuh disiplin akan amanah rumah ini, jaga kebersihan dan keselamatan persekitaran, serta pupuk semangat kejiranan.

“Jadikan tempat ini satu tempat yang baru, kita datang dari pelbagai tempat dan sekarang kita akan hidup bersama-sama. Tentulah ada perkara yang akan jadi perkara baru, rakan baru, jiran baru, suasana tidak sama tetapi jadikan tempat ini sebagai azam baru untuk kita hidup harmoni, penuh semangat kejiranan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah Mampu Milik (RMM) Gong Chengal Sejahtera 2, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, Timbalan sekaligus merangkap ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Dato’ Wan Adnan Wan Derahman.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun.
Dr. Samsuri turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Bahagian Perumahan) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) atas komitmen pembinaan projek berkenaan.
“Terima kasih juga kepada semua agensi, pihak berkuasa tempatan dan individu yang terlibat dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek hingga akhirnya berjaya disiapkan.

Untuk makluman, pembinaan dan penyerahan 200 buah RMM di kawasan seluas 17.34 ekar itu bermula pada 15 Mac 2020 dan dijangka mendapat sijil perakuan siap dan pematuhan (CCC) pada hujung November 2025.
Unit rumah terbabit merupakan 100 peratus terdiri daripada RMM teres satu tingkat untuk sasaran dari golongan berpendapatan rendah di daerah Kemaman.
Kos sebenar pembinaan bagi satu unit rumah adalah sebanyak RM188 Ribu. Namun begitu, kerajaan negeri telah menetapkan harga rumah mampu milik ini adalah sebanyak RM 80,000.00 seunit.
Tempoh pembiayaan yang dipersetujui adalah selama 30 tahun, dengan kadar bayaran sebanyak RM 210.10 sebulan.





