KUALA TERENGGANU – Isu pelantikan hakim yang didakwa tidak mengikut prosedur wajar ditangani dengan tindakan segera dan tegas oleh Kerajaan Persekutuan bagi memelihara integriti sistem pentadbiran negara.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa perkara yang dibangkitkan oleh mantan Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Rafizi Ramli baru-baru ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia telahpun disentuh lebih awal oleh Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Saya rasa apa yang dibangkitkan oleh YB Rafizi semalam sebenarnya telah pun disentuh sebelum ini di peringkat Perikatan Nasional.
“Mesejnya jelas. Kerajaan perlu ambil tindakan segera untuk selesaikan masalah ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Ahmad Samsuri turut memetik beberapa perkembangan terbaru yang menunjukkan berlaku pelanggaran tatacara, termasuk mesyuarat penting yang dijalankan tidak mengikut tempoh atau garis panduan yang sah.
“Apa yang berlaku sehari dua ini, termasuk mesyuarat yang tidak mengikut tempoh, adalah perkara yang perlu diambil serius. Saya rasa itu perkara yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Dalam hal ini, katanya, cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah langkah paling besar dan mungkin paling berkesan untuk memastikan pelantikan dilakukan mengikut lunas perlembagaan dan tatacara yang betul.
“Sama ada kita setuju atau tidak, saya rasa RCI adalah satu-satunya jalan untuk menyelesaikan isu ini dan yang paling penting sekarang adalah memastikan pelantikan itu dibuat mengikut tatacara,” jelasnya.
Tegasnya lagi, Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri perlu menunjukkan komitmen dalam menangani perkara ini agar rakyat tidak hilang keyakinan terhadap sistem pentadbiran negara.
“Kita tengok apa yang dibangkitkan oleh Rafizi Ramli semalam, saya rasa pada tahap ini macam-macam perkara sedang berlaku.
“Jadi, kena ada tindakan serius daripada pihak kerajaan, terutama Perdana Menteri (PMX),” tambah beliau lagi.