Home Berita PAS Terengganu

Dr. Sam Pelik Sasaran PM Terhadap Pertumbuhan Pertanian Terengganu

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan rasa hairan terhadap sasaran pertumbuhan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pertanian Terengganu yang hanya ditetapkan pada purata 1.1 peratus setahun.

Menurutnya, angka tersebut tidak mencerminkan potensi sebenar negeri itu, memandangkan sektor perikanan dan akuakultur turut menjadi antara industri strategik dalam ekonomi biru Terengganu.

“Sub-sektor tanaman dan penternakan di Terengganu juga telah menunjukkan pertumbuhan yang semakin memberangsangkan kebelakangan ini.

“Kerajaan negeri menyasarkan sektor pertanian Terengganu untuk berkembang sehingga 10.6 hingga 12.0 peratus menjelang 2030, atau secara purata 8.0 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2030,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan RMK-13 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam masa sama, Ahmad Samsuri turut menuntut agar Perdana Menteri mempertimbangkan beberapa perkara berkaitan sektor pertanian, termasuk menyokong pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran, serta pembinaan pusat pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran hasil pertanian dan bekalan makanan di Terengganu.

“Langkah ini sekali gus dapat meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara,” ujarnya.