Home Berita PAS Terengganu

Dr. Sam hargai pengorbanan petugas kesihatan tangani nahas gerik

5
SHARE

IPOH – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menghargai pengorbanan seluruh warga kesihatan yang terlibat dalam memberikan rawatan kepada mangsa-mangsa nahas bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik baru-baru ini.

“Pertama sekali, saya ingin ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada pihak hospital dan pasukan doktor termasuk doktor pelatih yang telah bertungkus-lumus memastikan semua mangsa, terutama yang cedera parah, mendapat rawatan terbaik,” ujar beliau selepas menziarahi mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Taiping hari ini.

Beliau mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk mengendalikan jumlah mangsa yang ramai dalam satu masa.

Namun beliau yakin bahawa komitmen dan profesionalisme ditunjukkan oleh semua anggota kesihatan, daripada doktor, jururawat hingga petugas wad sangat mengagumkan dan wajar dihargai.

“Saya percaya, komitmen yang sama juga akan diteruskan apabila mangsa-mangsa ini dihantar pulang dan menerima rawatan susulan di hospital-hospital di Terengganu, termasuk beberapa yang dijangka menjalani pembedahan,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa bersedia membantu dari sudut sokongan kebajikan dan pemulihan mangsa, dan menyeru semua pihak agar terus mendoakan kesembuhan mereka.