Home Berita PAS Terengganu

Dr. Sam hairan insiden bendera terbalik makin kerap

3
SHARE

KUALA TERENGGANU – Semua pihak diingatkan agar tidak memandang remeh berkaitan pengibaran Jalur Gemilang, sebaliknya ia perlu dilakukan dengan rasa hormat dan penuh kepekaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Jalur Gemilang adalah identiti negara yang seharusnya dihormati dan dikibarkan dengan penuh rasa bangga serta semangat patriotik.

“Berkaitan isu bendera terbalik ini, saya juga hairan kenapa sejak akhir-akhir ini berlaku perkara yang sedemikian, seingat saya dulu tidak timbul perkara sebegini mungkin dengan tiadanya media sosial 10, 20 tahun dahulu perkara ini tidak diwar-warkan.

“Walau apapun kita percaya, setiap individu mahupun agensi perlu lebih cermat dan ini merupakan satu langkah yang boleh dibuat dengan sendiri untuk memastikan tidak berlaku kesilapan yang sedemikian,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurakan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di premis Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Port Dickson Jumaat lepas.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada semua untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan dan menolak segala bentuk diskriminasi serta memperkukuh perpaduan demi kesejahteraan bersama.

“Ianya bukan sekadar perkara rutin yang kita laksanakan setiap tahun tetapi ini adalah satu langkah daripada kerajaan negeri bersama dengan kerajaan persekutuan untuk memberi penekanan kepada rakyat pentingnya perkataan merdeka dalam jiwa dan sanubari masing-masing.

“Kita berharap supaya generasi muda akan terus menghayati sepenuhnya erti kemerdekaan akhirnya menjadi warga yang cintakan negara dan tanah air,” ujarnya.