KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini secara rasmi dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Terengganu setelah menerima sijil pelantikan dalam satu majlis khas yang diadakan di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, di sini.
Turut menerima sijil pelantikan sebagai Naib-Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri Terengganu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Ab Rasid Jusoh turut dilantik sebagai Naib Yang Dipertua III.
Majlis pelantikan tersebut turut dihadiri oleh barisan pimpinan tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu, termasuk para Naib Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Majlis Pengakap Negeri yang turut menerima watikah pelantikan masing-masing.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berharap pelantikan itu dapat mencetuskan semangat baharu dalam institusi kepengakapan di negeri ini.
“Kita berharap selepas ini, Pengakap Negeri Terengganu, dengan uniform baharu yang turut diperkenalkan pada hari ini, akan menyuntik semangat baharu dalam kalangan anak-anak muda dan pelajar di peringkat sekolah,” ujarnya ketika ditemui media selepas majlis tersebut.
Sementara itu, Ketua Pengakap Negara, Mej. Jen. (B) Prof. Dato’ Dr. Mohd Zin Bidin, merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu atas sokongan berterusan terhadap aktiviti pengakap, termasuk bantuan dari segi dana dan logistik dalam penganjuran program di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa kerajaan negeri melihat pengakap sebagai satu pelaburan sosial yang tinggi nilainya, terutamanya dalam membentuk generasi pemimpin masa depan negara,” katanya.