Home Berita PAS Terengganu

Dr. Sam Cadang Pusat Kecemerlangan REE, Tegur Hak Negeri Diabai

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan kerajaan Persekutuan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Nasional REE bagi merancakkan pembangunan industri unsur nadir bumi bukan radioaktif (NREE) di Malaysia.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, pusat berkenaan perlu memberi fokus kepada pembangunan pemprosesan berteknologi tinggi, metalurgi unsur nadir bumi serta kaedah pemulihan tanpa sisa, selari dengan keperluan industri masa depan.

“Walaupun saya menyokong penuh pembangunan industri NREE ini, namun hasil penelitian terhadap perinciannya di dalam RMK-13, penekanan terhadap hak negeri kurang diberikan perhatian. Sedangkan REE ini berada di bawah bidang kuasa negeri seperti termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang membimbangkan kami di peringkat negeri, setakat rekod yang ada, pihak negeri tidak pernah dilibatkan dalam sebarang urusan berkaitan tuntutan perolehan pihak Amerika Syarikat terhadap NREE di Malaysia, seperti yang dilaporkan media asing sebagai salah satu syarat rundingan tarif dengan Kerajaan Amerika Syarikat,” katanya ketika berucap membahaskan RMK-13 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, perancangan pembangunan industri REE kini meliputi keseluruhan rantaian nilai termasuk perlombongan, penulenan dan pengasingan, pembangunan industri hiliran dan pertengahan, penyediaan produk untuk tujuan eksport serta penjagaan alam sekitar.

Katanya, langkah itu amat dialu-alukan kerana industri REE berpotensi menjana pulangan besar kepada negeri dan negara, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.