Oleh : Akid Hafriz
KUALA TERENGGANU – Calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi bertekad untuk mengekalkan kemenangan di DUN tersebut dalam Pilihan Raya Umum DUN.
Menurutnya, sepanjang sepenggal PAS memerintah Negeri Terengganu, telah banyak agenda pembangunan dan kebajikan dilaksanakan untuk rakyat.
“Insya-Allah, kita akan terus memacu pembangunan dan perubahan di Negeri Terengganu selepas ini.
“Sekarang adalah masa untuk bekerja bagi mempertahankan kemenangan.
“Bukan sahaja di DUN Batu Buruk, tetapi di seluruh DUN dalam Negeri Terengganu,” kata Dr. Muhammad Khalil kepada pemberita.
Dr Khalil dilihat hadir ke Pusat Penamaan Calon di Kompleks Sukan Terengganu Equestrian Resort (TER) bagi menyerahkan borang penamaan calon pada jam 9.03 pagi tadi diiringi kira-kira 4,000 orang penyokong.
Beliau yang juga selaku penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di situ akan bertanding dua penjuru dengan calon Pakatan Harapan, Zamir Ghazali.
Proses penamaan calon tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang provokasi daripada kedua-dua pihak yang bertanding.