Oleh : ANNA TAN
KOTA KINABALU, 22 Mac – Kerajaan Sabah dicadang rangka pelan komprehensif untuk atasi isu rumah atas air di negeri ini yang dilihat melibatkan tiga perkara penting berkaitan penyusunan rumah atas air, setinggan dan Pendatang Tanpa Izin (PATI).
Dr Aliakbar Gulasan (PAS-dilantik)membahaskan ucapan dasar Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, kelmarin, berkata bahawa dia masih ingat ketika mengikuti operasi menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Kampung Ladung Ayang, Kudat yang terjejas akibat kebakaran masa itu terdapat orang lama yang telah membina rumah selama 64 tahun di atas air dan tidak disusun atur oleh kerajaan selepas daripada itu.
” Saya merasa perkara tersebut perlu diambil perhatian oleh kerajaan.
“Kerajaan negeri pernah letak sasaran ‘Setinggan Sifar’ menjelang tahun 2015 namun pelan tersebut tidak berjaya kerana tidak mempunyai polisi yang jelas,” kata Aliakbar.
Aliakbar turut memberi cadangan untuk menjadikan Sabah sebuah negeri yang mempunyai sebuah kawasan perumahan yang tersusun, sama ada di dalam bandar atau di luar bandar adalah dengan menangani segera fenomena pembinaan rumah tanpa susun atur yang baik.