Home Berita PAS Terengganu

DPPNT seru Anak Muda sertai Himpunan Mega Tolak URA

18
SHARE

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menegaskan sokongan penuh terhadap seruan Dewan Pemuda PAS Malaysia untuk menyertai Himpunan Mega Bantah URA (Urban Redevelopment Authority) yang dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober ini di Kuala Lumpur.

Ketua DPPNT, Ustaz Muhamad Hamdi Harun berkata, himpunan tersebut menjadi medan rakyat bersuara bagi mempertahankan hak serta kedaulatan negara.

“DPPNT melihat Rang Undang-Undang URA amat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara dan Akta Hak Milik Strata.

“Malah, kuasa menteri yang tidak dinyatakan secara jelas boleh menimbulkan persoalan kerana ia menjangkaui bidang kuasa kerajaan negeri, Sultan serta Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau turut menegaskan dasar URA memberi kesan besar kepada rakyat, antaranya menindas pemilik kecil, menekan golongan miskin bandar, menimbulkan ketidakstabilan sosial dan politik, serta meluaskan jurang ekonomi antara golongan kaya dan miskin.

“Ia merupakan ancaman nyata kepada kesejahteraan negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, DPPNT menyeru seluruh anak muda Terengganu agar hadir bersama dalam himpunan aman tersebut sebagai tanda solidariti mempertahankan hak rakyat, maruah negeri dan kedaulatan undang-undang negara