Home Berita PAS Perlis

DPPNPs turun padang temui peniaga kecil

57
SHARE

Oleh AHMAD AZAMUDDIN

KANGAR, 20 Sept: Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis (DPPNPs) baru-baru ini telah turun padang menyantuni peniaga kecil yang menjalankan perniagaan mereka di beberapa lokasi di negeri ini.

Menurut ketua pemudanya Ustaz Muhammad Azmir Azizan, program berkenaan bertujuan mendapatkan gambaran serta maklum balas daripada para peniaga kecil berkenaan isu yang mereka hadapi, di samping membantu menyokong perniagaan mereka.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) kami telah mengunjungi beberapa lokasi perniagaan di tiga DUN di negeri ini iaitu di Guar Sanji (Parlimen Arau), Indera Kayangan (Kangar) dan Chuping (Padang Besar).

“Selain bertanyakan khabar, kami turut membeli barangan jualan mereka yang kemudiannya diberikan secara percuma kepada masyarakat sekitar sebagai membantu menyokong perniagaan yang mereka jalankan.

“Daripada respon yang diberikan, rata-rata peniaga kecil yang ditemui berharap aktiviti ekonomi di negeri ini dapat dirancakkan kembali dan mereka amat berterima kasih atas inisiatif DPPNPs ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Turut sama menyertai program berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim, Timbalan yang Dipertua PAS Kawasan Kangar Pengarah JPrD Indera Kayangan, Wan Hassan Ismail, Timbalan Ketua Pemuda PAS Padang Besar, Haziq Asyraf Dun dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Arau, Amirul Amri.

Kata Ustaz Muhammad Azmir lagi, kebanyakan mereka yang ditemui adalah peniaga makanan seperti penjual burger, kuih-muih, nasi lemak dan minuman.

“Insya Allah program sebegini akan kami teruskan pada masa yang akan datang dan saya ingin menyeru kepada orang ramai agar turut sama menyokong perniagaan mereka ini bagi merancakkan kembali aktiviti ekonomi di negeri ini,” ujarnya.