Home Berita PAS Perlis

DPPNPs adakan Usrah Raya

54
SHARE

Oleh AHMAD AZAMUDDIN

KANGAR, 17 Mei: Usrah Raya Aidilfitri Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis (DPPNPs) telah diadakan di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS), di sini baru-baru ini.

Program bermula dengan ucapan yang disampaikan oleh pengarah program, Dr Abu Yusof dan Ketua DPPNPs, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil diikuti dengan Pengisian Usrah Santai Raya Aidilfitri yang disampaikan oleh Pengarah Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Kedah (DPPK), Ustaz Syahrizan Hazime.

Dalam pengisiannya, Ustaz Syahrizan mengingatkan supaya setiap yang hadir menjadikan tarbiyah bulan ramadan yang lalu sebagai batu loncatan ke arah pembentukan insan yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada-Nya.

Selain itu katanya, momentum amalan-amalan khusus seperti solat jemaah, sedekah, qiamulail dan membaca Al-Quran sepanjang bulan Ramadan yang lalu perlu diperbanyakkan dan diteruskan walaupun pada bulan-bulan yang lain.

Sementara itu, Abu Yusof yang ditemui selepas tamat program berkenaan menyifatkan program ini sangat bermakna bagi meraikan kejayaan menempuh bulan Ramadan dan dalam masa yang sama menyampaikan kesedaran dan motivasi khususnya pada keluarga DPPNPs untuk meneruskan momentum ibadah pada bulan yang mendatang.

“Dalam menyambut kemeriahan Raya Aidilfitri pada malam ini, tanpa kita sedar, kesatuan dan kebersamaan sesama ahli dan pimpinan PAS dapat diperkukuhkan.

“Selain menjamah pelbagai juadah yang enak pada malam ini, kehadiran para pemuda dapat menambahkan lagi kekuatan ukhuwah sesama mereka,” katanya.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Mohd Shukri Ramli, dan Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Perlis, Ustaz Idris Yaacob.