Home Berita Dewan Pemuda PAS Malaysia

DPPM | Takziah Warga Kerja Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)

549
SHARE


NOTA TAKZIAH DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
KEPADA WARGA KERJA SURUHANJAYA PENGANGKUTAN AWAM DARAT (SPAD) SUSULAN PERLANTIKAN TAN SRI ISA SAMAD SEBAGAI PEMANGKU PENGERUSI*

1.    Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) sebagaimana seluruh rakyat Malaysia mengikuti rapat perkembangan yang berlaku di FELDA Global Venture Berhad (FGV) sehingga membawa kepada perletakan jawatan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi semalam berkuatkuasa serta merta. Walau bagaimanapun adalah sesuatu yang sangat mengejutkan apabila di dalam masa yang sama, beliau telah dilantik sebagai Pemangku Pengerusi SPAD juga berkuatkuasa serta merta.

2.    DPPM melihat perlantikan ini ialah satu keputusan yang silap yang telah dilakukan oleh YAB Perdana Menteri dan sangat merbahaya kepada masa depan SPAD dan juga rakyat Malaysia keseluruhannya. Rekod Tan Sri Isa Samad di FGV yang diterajuinya sebelum ini wajib dijadikan sebagai satu kayu ukur untuk melantiknya ke mana-mana jawatan apatah lagi untuk menerajui SPAD.

3.    SPAD bertanggungjawab mengawalselia segala kemudahan awam di Malaysia. Banyak inisiatif yang diperkenalkan, memberi impak secara langsung pada masyarakat umum. Dikhuatiri dengan pelantikan pengerusi baru yang mempunyai rekod buruk, membantutkan segala usaha yang telah dibuat. SPAD juga telah merangka Transformasi Pengangkutan Awam Darat pada tahun 2010  hasil usaha keras warga SPAD turun ke padang, membuat analisa, bertemu masyarakat serta mencadangkan pelan jangka panjang yang terbaik. Bagaimana mungkin seorang yang tiada pengalaman industri dan tiada rekod cemerlang dalam pengurusan korporat serta mempunyai rekod buruk berhubung integriti boleh diharapkan untuk meneruskan cita-cita ini?

4.    Justeru, DPPM melihat ‘perlantikan membalas jasa’ yang dibuat oleh Perdana Menteri ini hanyalah akan memperjudikan masa depan SPAD dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Ia adalah hadiah ‘Hari Raya’ yang sangat pahit untuk seluruh warga SPAD. Kami menyeru warga SPAD untuk terus menjadi menjadi agen rakyat jika terdapat sebarang penyalahgunaan dalam SPAD dan ia bakal dilindungi, sesuai dengan Polisi Pemberian Maklumat (Whistleblower Protection Act 2010)

5.    Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan takziah atas berita sedih ini.

“SEJAHTERA BERSAMA ISLAM”

“MARA MENUJU CITA”

AHMAD FADHLI BIN SHAARI
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Bertarikh : 20 Jun 2017 / 25 Ramadhan 1438