Home Berita PAS Terengganu

Dosa sekularisme lebih besar daripada fitnah dan membunuh

144
SHARE

Teori sekularisme yang memisahkan urusan kehidupan manusia daripada agama ialah ciptaan manusia dalam kalangan ahli falsafah bukan Islam, termasuk dalam syirik akbar yang menentang aqidah tauhid yang diperjuangkan oleh semua anbiya’. Syirik akbar ialah dosa yang tidak diampunkan oleh Allah dan ditutup pintu taubatnya selagi amalan syirik itu tidak dibatalkan.

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغۡفِرُ أَن يُشۡرَكَ بِهِۦ وَيَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱفۡتَرَىٰٓ إِثۡمًا عَظِيمًا ٤٨ أَلَمۡ تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ يُزَكُّونَ أَنفُسَهُمۚ بَلِ ٱللَّهُ يُزَكِّي مَن يَشَآءُ وَلَا يُظۡلَمُونَ فَتِيلًا ٤٩ ٱنظُرۡ كَيۡفَ يَفۡتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلۡكَذِبَۖ وَكَفَىٰ بِهِۦٓ إِثۡمٗا مُّبِينًا ٥٠

“Sesungguhnya, Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik, dan Dia mengampunkan segala dosa yang selain (syirik) itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh dia telah berbuat dosa yang besar. (48) Adakah kamu tidak memerhatikan orang yang menganggap diri mereka bersih? Sebenarnya, Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mereka tidak dizalimi sedikit pun. (49) Perhatikanlah, betapa mereka mengada-adakan pendustaan terhadap Allah? Dan cukuplah perbuatan itu menjadi dosa yang nyata (bagi mereka). (50)” [Surah al-Nisa’: 48–50]

Sekularisme termasuk fahaman yang menafikan Tauhid Uluhiyyah, Tauhid Rububiyyah, serta Tauhid Asma’ dan Sifat Allah yang diseru oleh firman Allah. Hal ini disebabkan fahaman ini merampas urusan Allah Pencipta alam yang menetapkan urusan-Nya yang mewajibkan seluruh hamba-Nya mengabdikan diri kepada-Nya secara mutlak. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ٢١ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ فِرَٰشٗا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءٗ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَأَخۡرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزۡقٗا لَّكُمۡۖ فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادٗا وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٢٢

“Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa! (21) Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu buah-buahan sebagai rezeki untukmu. Kerana itu, janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui. (22)” [Surah al-Baqarah: 21–22]

Terkandung dalam ucapan doa iftitah, firman Allah SWT:

إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحۡيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٦٢

“Sesungguhnya, sembahyangku dan ibadatku, serta hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” [Surah al-An‘am: 162]

Doa iftitah dimasukkan bersama Surah al-Fatihah dalam setiap rakaat solat oleh penganut Islam. Mengakui bahawa seluruh alam ciptaan Allah dan pentadbiran-Nya mengikut fitrah (naluri) kejadian masing-masing, termasuk makhluk manusia dan tugasnya, melainkan perkara yang diizinkan oleh Allah mengikut kemampuan setiap makhluk.

Firman Allah SWT:

وَإِلَٰهُكُمۡ إِلَٰهٞ وَٰحِدٞۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلرَّحۡمَٰنُ ٱلرَّحِيمُ ١٦٣ إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ وَٱلۡفُلۡكِ ٱلَّتِي تَجۡرِي فِي ٱلۡبَحۡرِ بِمَا يَنفَعُ ٱلنَّاسَ وَمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مِن مَّآءٖ فَأَحۡيَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ بَعۡدَ مَوۡتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَآبَّةٖ وَتَصۡرِيفِ ٱلرِّيَٰحِ وَٱلسَّحَابِ ٱلۡمُسَخَّرِ بَيۡنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ لَأٓيَٰتٖ لِّقَوۡمٖ يَعۡقِلُونَ ١٦٤

“Dan Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa; tidak ada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (163) Sesungguhnya, dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang berlayar di laut membawa apa-apa yang berguna bagi manusia, dan apa-apa yang Allah turunkan dari langit berupa air — lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (keringnya), dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, serta pengisaran angin dan awan yang dikendalikan di antara langit dan bumi; sungguh (terdapat) tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan. (164)” [Surah al-Baqarah: 163–164]

Firman Allah SWT:

أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١

“Adakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah? Sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (daripada Allah), tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Shura: 21]

Dalam Islam, ada perkara thawabit (tetap yang tidak mungkin berubah) kerana bersifat fitrah dan ada perkara mutaghayyirat (mengalami perubahan) dalam kehidupan manusia. Maka, dasar umum dinyatakan atau dibiarkan bebas mengikut kemampuan akal, kajian, dan pengalaman hidup yang berbeza dan berubah.

Betapa berdosanya kalangan yang menganut sekularisme kerana mencabar ketuhanan Allah Yang Maha Suci daripada sebarang kelemahan dan kekurangan. Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang Mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhaka Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.” [Surah al-Ahzab: 36]

Allah berfirman kepada kaum Yahudi dan Kristian daripada kalangan Ahli Kitab kerana mengikuti hukum ciptaan agamawan mereka yang meminda hukum Allah dalam kitab suci masing-masing, sehingga menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Firman Allah SWT:

قُلۡ يَـٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ كَلِمَةٖ سَوَآءِۢ بَيۡنَنَا وَبَيۡنَكُمۡ أَلَّا نَعۡبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشۡرِكَ بِهِۦ شَيۡـٔٗا وَلَا يَتَّخِذَ بَعۡضُنَا بَعۡضًا أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِۚ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَقُولُواْ ٱشۡهَدُواْ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ ٦٤

“Katakanlah, ‘Wahai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimah (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dengan kamu, bahawa kita tidak sembah kecuali Allah dan kita tidak menyekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah!’ Jika mereka berpaling, maka katakanlah kepada mereka, ‘Saksikanlah, bahawa kami ialah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).’” [Surah Ali ‘Imran: 64]

Firman Allah SWT:

ٱتَّخَذُوٓاْ أَحۡبَارَهُمۡ وَرُهۡبَٰنَهُمۡ أَرۡبَابٗا مِّن دُونِ ٱللَّهِ وَٱلۡمَسِيحَ ٱبۡنَ مَرۡيَمَ وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُوٓاْ إِلَٰهٗا وَٰحِدٗاۖ لَّآ إِلَٰهَ إِلَّا هُوَۚ سُبۡحَٰنَهُۥ عَمَّا يُشۡرِكُونَ ٣١

“Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha Suci Allah daripada apa-apa yang mereka sekutukan.” [Surah al-Tawbah: 31]

Dirakamkan dalam Bible:

“Render unto Caesar the things that are Caesar’s, and unto God the things that are God’s.” [Matthew 22: 21]

Sekularisme ialah pintu besar yang membuka fitnah dalam urusan agama Allah yang melahirkan berbagai-bagai ideologi ciptaan manusia, seperti fahaman ateisme yang menolak adanya Tuhan Pencipta alam yang menjadi fitrah manusia. Begitu juga, fahaman liberalisme yang menolak manusia ke dalam konsep kebinatangan yang menghinakan manusia sendiri yang dimuliakan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

۞وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠

“Dan sesungguhnya, Kami telah memuliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” [Surah al-Isra’: 70]

Teori sekularisme dicipta di dunia Barat yang mencuri tamadun Islam dalam aspek ilmu duniawi sahaja tanpa mengambil ajaran Islam yang sempurna. Kemudian, ia dimasukkan dalam agama Kristian sehingga mengubah isi kandungan kitab Injil dan agama Yahudi sehingga meminda kitab Taurat, seterusnya dipadankan dengan kemajuan sains dan teknologi tanpa hidayah agama.

Disaksikan kini, kemusnahan tamadun Barat (madani jahiliah) ciptaan manusia yang juga pernah dimusnahkan oleh bencana hukuman Allah di alam dunia sebelum alam akhirat. Firman Allah SWT:

أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ ١٤

“Adakah kamu tidak memerhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Ad? (6) (Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. (7) Yang belum pernah dibangunkan (suatu kota) seperti itu di negeri-negeri lain. (8) Dan kaum Thamud yang memotong batu-batu besar di lembah. (9) Dan kaum Firaun yang mempunyai pasak-pasak (tentera yang banyak). (10) Yang berbuat sewenang-wenang di dalam negeri. (11) Lalu mereka berbuat banyak kerosakan di dalam negeri itu. (12) Kerana itu, Tuhanmu menimpakan kepada mereka cemeti azab. (13) Sesungguhnya, Tuhanmu benar-benar mengawasi. (14)” [Surah al-Fajr: 6–14]

Allah mendedahkan dalam al-Quran mengenai penyelewengan Ahli Kitab terhadap kitab Allah yang asalnya diwahyukan kepada para nabi yang menyampaikannya daripada Allah. Firman Allah SWT:

فَوَيۡلٞ لِّلَّذِينَ يَكۡتُبُونَ ٱلۡكِتَٰبَ بِأَيۡدِيهِمۡ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِ لِيَشۡتَرُواْ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلٗاۖ فَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتۡ أَيۡدِيهِمۡ وَوَيۡلٞ لَّهُم مِّمَّا يَكۡسِبُونَ ٧٩

“Maka, kecelakaan yang besarlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri, lalu mereka mengatakan, ‘Ini daripada Allah,’ (dengan maksud) untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka, kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang ditulis oleh tangan mereka sendiri, dan kecelakaan yang besarlah bagi mereka, akibat apa-apa yang mereka kerjakan!” [Surah al-Baqarah: 79]

Sekularisme menyesatkan manusia melebihi nafsu dan keganasan binatang yang tidak berakal. Firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٞ لَّا يُبۡصِرُونَ بِهَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٞ لَّا يَسۡمَعُونَ بِهَآۚ أُوْلَـٰٓئِكَ كَٱلۡأَنۡعَٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّۚ أُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡغَٰفِلُونَ ١٧٩

“Dan sesungguhnya, Kami jadikan untuk (isi Neraka Jahanam) kebanyakan daripada jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah). Mereka mempunyai mata, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah). Dan mereka mempunyai telinga, (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Surah al-A‘raf: 179]

Dapat disaksikan ciptaan teori liberalisme yang melampau sehingga hak binatang disamakan dengan hak asasi manusia. Di samping itu, diciptakan ideologi paling zalim dan senjata paling ganas yang membunuh dan merosakkan kehidupan, dengan hujah nafsu dan salah guna akal yang menggoda kepada kesesatan dan kemusnahan manusia serta alam kelilingnya. Firman Allah SWT:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُعۡجِبُكَ قَوۡلُهُۥ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَيُشۡهِدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلۡبِهِۦ وَهُوَ أَلَدُّ ٱلۡخِصَامِ ٢٠٤ وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي ٱلۡأَرۡضِ لِيُفۡسِدَ فِيهَا وَيُهۡلِكَ ٱلۡحَرۡثَ وَٱلنَّسۡلَۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡفَسَادَ ٢٠٥

“Dan antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal dia ialah penentang yang paling keras. (204) Dan apabila dia berpaling (daripada kamu), dia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya serta merosakkan tanam-tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan. (205)” [Surah al-Baqarah: 204–205]

Teori yang sesat ini diimport oleh penjajah ke dalam negara kita pada zaman penjajahannya dan disambung oleh bala tenteranya, termasuk DAP yang mendominasi Pakatan Harapan (PH) hari ini. Sehinggakan, dimaktubkan dalam perlembagaan parti itu dan menjadi perjuangan yang disuarakan dengan lantang, lantas mencabar Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Dinyatakan dengan terang dan nyata dalam fasal 2 matlamat DAP, iaitu menegakkan sekularisme yang dihasratkan oleh Suruhanjaya Reid dengan meletakkan Islam di bawah panji-panji sekularisme yang berlainan dengan maksud al-din dalam bahasa al-Quran, bukan perkataan ‘religion’ dalam bahasa Barat.

Maka, DAP menerima keahlian semua kelompok manusia, termasuk daripada kalangan paling ekstrem yang tidak percaya akan adanya Tuhan yang tidak beragama, malah daripada semua ideologi, termasuk kalangan komunis yang paling ekstrem dan kalangan liberal yang paling bebas.

PAS bertindak membatalkan kerjasama politiknya dengan kumpulan ini kerana beristiqamah kepada prinsip perjuangannya, di samping mereka membuat kenyataan terbuka dan bertindak menentang dasar PAS. Firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]

Firman Allah SWT:

أَوَ لَمۡ يَرَوۡاْ إِلَىٰ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ مِن شَيۡءٖ يَتَفَيَّؤُاْ يَتَفَيَّؤُاْ ظِلَٰلُهُۥ عَنِ ٱلۡيَمِينِ وَٱلشَّمَآئِلِ سُجَّدٗا لِّلَّهِ وَهُمۡ دَٰخِرُونَ ٤٨ وَلِلَّهِۤ يَسۡجُدُۤ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِ مِن دَآبَّةٖ وَٱلۡمَلَـٰٓئِكَةُ وَهُمۡ لَا يَسۡتَكۡبِرُونَ ٤٩ يَخَافُونَ رَبَّهُم مِّن فَوۡقِهِمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ۩ ٥٠

“Dan adakah mereka tidak memerhatikan segala sesuatu yang telah diciptakan Allah yang bayangannya berbolak-balik ke kanan dan ke kiri dalam keadaan sujud kepada Allah, sedang mereka merendah diri? (48) Dan kepada Allah sajalah bersujud segala yang berada di langit dan semua makhluk yang melata di bumi dan (juga) para malaikat, sedang mereka (malaikat) tidak menyombongkan diri. (49) Mereka takut kepada Tuhan mereka yang di atas mereka dan melaksanakan apa-apa yang diperintahkan (kepada mereka). (50)” [Surah al-Nahl: 48–50]

Firman Allah SWT:

كِتَٰبٌ أُنزِلَ إِلَيۡكَ فَلَا يَكُن فِي صَدۡرِكَ حَرَجٞ مِّنۡهُ لِتُنذِرَ بِهِۦ وَذِكۡرَىٰ لِلۡمُؤۡمِنِينَ ٢ ٱتَّبِعُواْ مَآ أُنزِلَ إِلَيۡكُم مِّن رَّبِّكُمۡ وَلَا تَتَّبِعُواْ مِن دُونِهِۦٓ أَوۡلِيَآءَۗ قَلِيلٗا مَّا تَذَكَّرُونَ ٣

“Ini ialah sebuah kitab yang diturunkan kepadamu, maka janganlah ada kesempitan dalam dadamu kerananya, supaya kamu memberikan peringatan dengan kitab itu (kepada orang-orang kafir), dan menjadi pelajaran bagi orang-orang yang beriman. (2) Ikutilah apa-apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya. Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran (daripadanya). (3)” [Surah al-A‘raf: 2–3]

Fasal 7 (1) Perlembagaan PAS menetapkan bahawa Islam adalah tertinggi mengikut yang terkandung dalam al-Quran, Sunnah, ijmak para ulama’, dan qias yang nyata.

Maka, PAS menerima ahli yang beragama Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem berkonsepkan tiada paksaan beragama, asalkan menerima Islam yang adil kepada semua.

Sekularisme ialah syirik akbar yang lebih besar daripada dosa fitnah dan membunuh nyawa manusia kerana membunuh aqidah keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat; dosa paling besar dalam Islam. Hal ini menjadikan semua amalan yang soleh tidak diberikan pahala. Firman Allah SWT:

وَلَقَدۡ أُوحِيَ إِلَيۡكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكَ لَئِنۡ أَشۡرَكۡتَ لَيَحۡبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ ٦٥

“Dan sesungguhnya, telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelum kamu, ‘Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), nescaya akan hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi.’” [Surah al-Zumar: 65]

Kepada kalangan yang jahil, ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun sekiranya kembali ke pangkal jalan yang betul dan pintu taubat terbuka dengan luas kepada semua dosa selain syirik akbar. Kepada kalangan yang takbur dan degil pula, ketahuilah bahawa Allah Maha Berkuasa dan Perkasa; tiada sesiapa yang dapat melemahkan-Nya dan melepaskan diri daripada-Nya.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 1 Rajab 1446 / 1 Januari 2025

[Bil: 1 / 2025]