Home Berita PAS Terengganu

Doa Sultan Mizan Iringi Perjalanan Akhir 15 Permata Terengganu

28
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada seluruh keluarga 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik-Jeli, kelmarin.

Dato’ Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Mohd Sophian Abu Bakar berkata, baginda berdua turut merakamkan perasaan simpati yang mendalam terhadap penderitaan dan kehilangan yang ditanggung oleh ahli keluarga mangsa.

“Baginda Sultan dan Sultanah mendoakan agar seluruh keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi ini dikurniakan kekuatan jiwa, ketabahan hati dan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi ujian yang sangat berat ini.

“Baginda turut berdoa agar roh semua mangsa dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” kata beliau dalam satu kenyataan media sebentar tadi.

Tragedi yang menggemparkan negara itu berlaku ketika para pelajar dalam perjalanan pulang ke kampus selepas bercuti bersama keluarga sempena Aidiladha.

Kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI itu telah menyebabkan 15 nyawa terkorban, manakala selebihnya mengalami kecederaan dan sedang menjalani rawatan di hospital.

Dalam perkembangan sama, menurut Mohd Sophian, baginda berdua juga tidak melupakan mangsa yang sedang dirawat di Hospital Taiping, Hospital Gerik dan Hospital Raja Permaisuri Bainun akibat tragedi tersebut menyayat hati itu.

“Baginda juga mendoakan semoga semua yang tercedera diberikan kesembuhan segera oleh Allah SWT serta dipermudahkan segala urusan berkaitan rawatan dan pemulihan,” tambah kenyataan itu lagi.

Berdasarkan laporan terkini, kesemua jenazah telah dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing untuk solat jenazah dan dikebumikan.

Kesemua jenazah telah tiba Besut pada 10.30 malam semalam dan 3 pagi tadi.

14 jenazah telah disempurnakan solat jenazah di Masjid Hadhari Jerteh.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi mengetuai solat jenazah dengan kehadiran lebih 3,000 jemaah di masjid berkenaan.

Kemudian, proses pengebumian berjalan dengan penuh tertib dan dihormati, disertai ribuan rakyat yang hadir memberikan penghormatan terakhir.